Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Warga India hilang daki gunung di Cameron Highlands

Operasi SAR pendaki warga India yang hilang di Gunung Jasar di Cameron Highlands dilancarkan pada 25 September lalu selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke hotel. (Gambar Facebook TEMS)

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga India dilaporkan hilang selepas mendaki Gunung Jasar di Cameron Highlands, hampir seminggu lalu.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata mangsa yang dikenali sebagai Nanda Suresh Nadkarni, 44, dipercayai keluar dari hotel untuk mendaki Gunung Jasar kira-kira jam 9.20 pagi 22 September lalu.

Bagaimanapun, lelaki itu tidak pulang ke bilik hotel untuk mendaftar keluar sebelum kehilangannya dilapor kepada pihak berkuasa tiga hari kemudian, lapor Sinar Harian.

“Susulan laporan itu satu operasi mencari dan menyelamat disertai 100 anggota terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, tentera dan Pasukan Gerakan Am dilancarkan,” katanya.

Menurutnya, operasi turut dibantu tiga anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) polis dan bomba.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata ada saksi mendakwa terserempak dengan mangsa yang bertanyakan arah jalan ke puncak Gunung Jasar dan Bharat Teh.

Katanya, pencarian diteruskan di kawasan yang dipercayai berada dalam radius lokasi mangsa dikesan sebelum itu bermula dari Sungai Ubi menghala ke Bharat Teh.