Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Usah persoal tugas polis dalam PRK Pelangai, Zahid beritahu Takiyuddin

Presiden Umno Zahid Hamidi menegur Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang cuba menimbulkan kekeliruan apabila mempersoal kehadiran polis dalam PRK Pelangai. (Gambar bernama)

PETALING JAYA: Tiada keperluan mempersoal profesionalisme polis menjalankan tugas sepanjang kempen PRK Pelangai, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau yang juga presiden Umno menegur tindakan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mempersoal kehadiran pasukan itu dalam kempen itu sambil menyifatkan Ahli Parlimen Kota Bharu berkenaan “akan menggunakan apa sahaja untuk menimbulkan kekeliruan”.

“Saya kenal beliau secara peribadi dan beliau akan menggunakan apa sahaja, bukan hanya untuk menimbulkan situasi bagi menyerang, tapi mewujudkan kekeliruan.

“Polis sangat profesional, mereka cuma memantau mana-mana parti politik atau calon yang melakukan kempen. Jangan persoalkan profesionalisme yang dilakukan agensi penguatkuasaan terutamanya oleh PDRM,” katanya menurut Utusan Malaysia pada sidang media di Bentong.

Semalam, Takiyuddin berkata, ‘kehadiran luar biasa’ pihak berkuasa juga boleh memberi gambaran tidak sihat kepada amalan demokrasi negara, termasuk menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong.

Beliau mendakwa, kehadiran kereta peronda terlalu kerap di markas operasi terutamanya milik Perikatan Nasional (PN) dengan alasan mendapatkan maklumat kekuatan petugas dan gerak kerja sedangkan ia tiada kaitan dengan agensi itu.

Bagaimanapun, calon PN, Kasim Samat dilapor berkata, secara peribadi, kehadiran pihak berkuasa tidak memberi kesan kepadanya, namun tidak menolak terdapat laporan daripada jentera kempen yang ‘terganggu’ dengan situasi tersebut.

Turut bertanding pada PRK Pelangai 7 Okt adalah calon Barisan Nasional Amizar Abu Adam dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.