Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

TVET mesti berjaya agar Malaysia capai cita-cita pendapatan tinggi, kata utusan UK

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Ailsa Terry berkata, beliau melihat hubungan negaranya dengan Malaysia sebagai kerjasama pembelajaran.

KUALA LUMPUR: Tanpa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), Malaysia tidak akan berjaya mencapai cita-cita menjadi negara berpendapatan tinggi seperti yang ditetapkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata pesuruhjaya tinggi Britain yang baharu ke Malaysia, Ailsa Terry.

Bercakap kepada media pada seminar penutup program Kemahiran untuk Kemakmuran di Malaysia (SfP-Malaysia) semalam, Terry berkata, lima universiti British sudah pun berada di Malaysia, satu-satunya negara di dunia yang mempunyai sebegitu banyak universiti British.

“Kami mahu sokong (TVET Malaysia) semampu kami. Saya ingin memastikan bahawa semua perwakilan UK di sini – sekolah, universiti – benar-benar membantu kerajaan mencapai matlamat TVET.

“Ia tentang bekerja bersama, lebih daripada (United Kingdom) memberi sebarang bantuan,” tambahnya sambil berkata, beliau melihat hubungan negaranya dengan Malaysia sebagai kerjasama pembelajaran.

“Kami sedang berusaha untuk menyokong hala tuju kerajaan Malaysia, berbanding membawa idea yang telah difikirkan – dan melakukannya dengan semangat perkongsian, memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah status berpendapatan tinggi.”

Terry memuji pencapaian program SfP-Malaysia, program pendidikan dan kemahiran global utama UK yang menjalin kerjasama pelbagai negara rakan kongsi, terutamanya ketika wabak Covid-19.

“Saya baru berada di Malaysia selama kira-kira enam minggu. Jadi saya masih baru dalam hal ini, melihatkan hasilnya, sangat mengagumkan,” kata Terry, yang menyandang jawatan itu pada Ogos, menggantikan Charles Hay.

SfP-Malaysia, sebuah program yang dikendalikan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), dibiayai oleh UK dari 2019 hingga 2023, melaporkan bahawa ia telah memberi manfaat kepada lebih 12,000 rakyat Malaysia, termasuk golongan wanita, belia dan B40.

Terry berkata, walaupun program itu telah selesai, pada masa akan datang, tumpuan akan diberikan pada hubungan dengan ILO, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi kerajaan yang terlibat setakat ini.

“Hubungan ini telah dibina dengan sangat sabar dan berhati-hati sejak empat atau lima tahun lepas,” katanya.

“Ia bukan sahaja tentang meneruskan perkongsian, tetapi juga mendengar keperluan menurut perspektif kerajaan Malaysia dan masyarakat awam.

“Bagaimanakah UK, bersama rakan kongsi antarabangsa yang lain, dapat membantu Malaysia mencapai matlamatnya?”