Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Trudeau mohon maaf selepas Parlimen Kanada puji veteran Nazi

Justin Trudeau menyifatkan ia kesilapan amat memalukan dan mereka menyesal memberi penghormatan kepada veteran Nazi, Yaroslav Hunka tanpa mengetahui perkara sebenar. (Gambar AP/The Canadian Press)

NEW YORK: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau memohon maaf bagi pihak Parlimen Kanada selepas Ahli Parlimen diminta memberi penghormatan kepada seorang lelaki yang juga anggota Waffen SS Nazi, lapor Agensi Berita Jeman (dpa).

Speaker Parlimen Kanada, Anthony Rota meletak jawatan Selasa lalu, selepas meminta Ahli Parlimen memberi penghormatan kepada Yaroslav Hunka sempena lawatan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky ke Ottawa pada Jumaat.

Hunka, 98, diberi tepukan gemuruh dan dianggap “wira Ukraine”.

Tetapi, Rota kemudian mendapati Hunka sebenarnya pernah berkhidmat di bawah Nazi menentang Soviet.

“Ini kesilapan amat memalukan Parlimen dan Kanada. Kami semua yang berada di Dewan ini pada Jumaat amat menyesal kerana berdiri dan bertepuk tangan, walaupun kami tidak mengetahui perkara sebenar.

“Satu kesilapan sedangkan berjuta-juta orang maut ketika Holocaust. Amat menyakitkan kepada mangsa yang menjadi sasaran rejim Nazi dalam Perang Dunia II,” kata Trudeau pada Rabu.

Beliau berkata, Kanada amat menyesal dengan situasi yang turut mengaitkan Zelensky dan delegasi Ukraine.

“Amat membimbangkan kerana kesilapan besar ini telah dipolitikkan Rusia dan penyokongnya sebagai propaganda palsu tentang apa yang diperjuangkan Ukraine.”

Rusia menyerang Ukraine pada Februari 2022 dan Moscow berulang kali merujuk kepimpinan Kyiv sebagai neo-Nazi, tuduhan yang dikecam masyarakat antarabangsa.

Semasa Perang Dunia II, nasionalis Ukraine, Stepan Bandera bekerjasama dengan Nazi menentang Kesatuan Soviet dan menubuhkan Tentera Kebangsaan Ukraine.

Dia dibunuh ejen KGB di Munich pada 1959.