Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Tiada pertandingan ‘top 5’, PAS tak sedia terajui negara, kata penganalisis

Suasana di dewan pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Parti Islam ke 67 di Duyong Marina Resort, Terengganu.
Tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi dalam PAS pada muktamarnya yang berlansung 20 hingga 22 Okt depan di Shah Alam.

PETALING JAYA: Masa depan PAS menjadi teraju negara mungkin boleh dipersoalkan dari segi penyediaan pemimpin pelapis apabila lima jawatan tertingginya tidak dipertandingkan pada pemilihan bulan depan, kata penganalisis politik.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata keadaan itu menunjukkannya tidak bersedia menerajui Putrajaya, selain membuktikannya ‘cakap tak serupa bikin’ apabila sebelum ini lantang mempersoalkan kepimpinan parti lain.

“PAS dari segi kepimpinan tak sedia menjadi teraju negara, pelapis mereka hanya akur keputusan tertinggi, mereka boleh kritik parti lain tapi parti sendiri tidak bersedia bina kepimpinan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan kedudukan sebagai presiden dan timbalan presiden apabila tidak dicabar kerana tiada pencalonan lain.

Awang Azman Awang Pawi.

Kali terakhir kedudukan Hadi sebagai presiden dicabar pada 2015, beliau menewaskan pencabarnya Ahmad Awang.

Tiga jawatan naib presiden juga akan mengekalkan penyandang sedia ada iaitu Idris Ahmad, Mohd Amar Nik Abdullah, serta Ahmad Samsuri Mokhtar. Menteri Besar Sanusi Nor menarik diri walaupun mendapat pencalonan.

“Sanusi masih tak yakin mampu menjadi pemimpin masa depan PAS, beliau sendiri sedar populariti bukan berasaskan ciri kepimpinan sebaliknya dengan cara populis sukar diterima,” kata Awang Azman.

Hisomuddin Bakar.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar pula berpendapat sebaliknya dan menyifatkan tindakan Sanusi tanda lambang ketaatan tertinggi kepada parti.

“Sanusi bukan sahaja sekadar naib presiden, beliau boleh sahaja dengan popularitinya ke (mencabar) timbalan presiden, tetapi dia tak mahu ‘ganggu’.

“Itu wala’ (setia) tinggi ditunjukkan Sanusi untuk patuh pucuk pimpinan, jadi beliau tumpu pengarah pilihan dan menteri besar Kedah,” kata Hisomuddin yang tidak terkejut dengan perkembangan itu.

Mazlan Ali.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berkata tiada yang luar biasa dalam perkembangan PAS itu, menyamakannya dengan Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi yang tidak dicabar dalam PKR serta Umno.

“Bukan soal demokrasi, ini untuk elak perpecahan dan ketegangan dalam parti. Itulah Wala, nak bagi kepada orang yang masih layak,” katanya.