Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Terus kecualikan caj guna QR DuitNow, Wee beritahu Paynet; bank

Wee Kaa Siong berkata pengecualian caj MDR juga seiring usaha pendigitalan kerajaan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Presiden MCA Wee Ka Siong meminta caj kadar diskaun pedagang (MDR) bagi penggunaan QR DuitNow terus dikecualikan bagi mengelakkan pengguna terutama peniaga kecil terjejas.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata pengendali aplikasi itu Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan bank yang bercadang memansuhkan pengecualian diskaun itu bermula 1 Nov depan harus mendengar desakan orang ramai dan peniaga.

Terdahulu, PayNet mengesahkan pengguna aplikasi itu akan dikenakan caj bermula 1 Nov ini dan menjelaskan MDR atau turut dikenali ‘merchant discount rate (MDR)’ bukan perkara baharu kerana dikecualikan ketika tempoh pengenalannya pada 2019.

“Mereka sepatutnya teruskan (pengecualian) bagi pengguna QR DuitNow kebanyakannya peniaga kecil yang akan menerima bayaran tunai sekiranya mereka tidak menggunakannya.

“Jadi bank juga akan menerima manfaat dari pengurangan kos pengendalian wang tunai sekiranya peniaga lebih menggunakan kaedah QR DuitNow berbanding wang tunai,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, inisiatif itu juga seiring usaha pendigitalan kerajaan.

Terdahulu, PayNet ketika menjelaskan pelaksanaan caj untuk peniaga bagi penggunaan QR DuitNow menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan tidak akan terkesan menerusi pembelian menggunakan QR DuitNow selepas MDR dikenakan.

Sejak beberapa hari lalu, media tempatan melaporkan “merchant” atau penjual yang menerima pembayaran menerusi QR DuitNow akan dikenakan caj bergantung kepada mod pemindahan wang.

Perkhidmatan itu membolehkan pemindahan wang antara bank dan entiti bukan bank menerusi imbasan kod.