Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Tak isytihar gluten, Singapura tarik balik mi buatan Malaysia

Agensi Makanan Singapura mengarahkan produk Organic Mee Suar Perasa Asli dari Malaysia ditarik balik kerana kandungan glutennya tidak diisytihar.

SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) mengesan gluten yang tidak diisytihar pada label pembungkusan makanan Organic Mee Suar (300g) Perasa Asli dari Malaysia.

Memandangkan gluten ialah bahan yang boleh mencetuskan alahan, SFA berkata ia mengarahkan pengimport, Taste Original Pte Ltd, supaya menarik balik produk berkenaan.

“Menarik balik produk sedang dibuat,” kata SFA dalam kenyataan.

Alergen dalam makanan boleh mengakibatkan tindak balas alahan pada individu yang sensitif terhadapnya.

Mengikut Peraturan Makanan Singapura, produk makanan yang mengandungi ramuan yang diketahui menyebabkan hipersensitiviti, mesti diisytiharkan pada label pembungkusan makanan bagi melindungi pengguna yang mempunyai alahan makanan.

“Semua bahan dalam makanan yang dibungkus juga perlu dinyatakan pada label produk dalam tertib menurun mengikut perkadaran berat kandungannya,” menurut kenyataan itu.

Gluten ialah sejenis protein yang secara semula jadi dalam gandum dan bijirin lain.

“Gluten tidak menimbulkan isu keselamatan makanan kepada pengguna secara amnya, kecuali bagi mereka yang tidak bertoleransi atau alah kepada gluten,” kata SFA.