Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Sultan mahu Kelantan proaktif jamin sekuriti makanan

Sultan Muhammad V mahu kerajaan negeri mengekang pengurangan tanah pertanian. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bertitah agar kerajaan negeri mengambil langkah yang lebih proaktif bagi menjamin sekuriti makanan.

Baginda bertitah kerajaan perlu memperhalusi permohonan penukaran status tanah pertanian kepada status bangunan bagi mengekang pengurangan tanah berkenaan untuk memastikan tiada gangguan dalam rantaian bekalan makanan.

“Beta sedar situasi ekonomi semasa 2023 dijangka akan tumbuh perlahan berikutan ketegangan geopolitik antarabangsa yang menyumbang kepada kenaikan harga barang dan memburukkan inflasi global.

“Justeru, beta harap kerajaan memandang serius perkara tersebut dan beta sarankan langkah jangka pendek bagi mengatasi penderitaan rakyat dari segi tekanan sara hidup perlu dilakukan dengan kadar segera,” titah baginda sempena hari keputeraan ke-54 di Istana Balai Besar, yang dibacakan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Sultan Muhammad V turut bertitah agar misi pelaburan yang berdaya maju dapat dilaksanakan dengan penuh berkesan dan teliti bagi memastikan agenda mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelaburan kompetitif dapat dijayakan.

“Perancangan yang dibuat perlu memastikan pembangunan yang lestari dan menitikberatkan penjagaan alam sekitar.

“Penekanan juga perlu diberikan terhadap pembangunan bandar di sempadan memandangkan ketepuan penduduk dan kegiatan ekonomi rakyat tertumpu di kawasan berkenaan,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Muhammad V berharap kerajaan negeri dan persekutuan meneruskan projek prasarana berimpak tinggi seperti Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, Central Spine Road, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra serta disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Saranan sama turut dizahirkan baginda dalam pengurusan sumber air agar lebih lestari dan holistik termasuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) yang mencecah 53.7% tahun lepas.