Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Sukan Asia: Qabil hadiah emas kedua negara, tewaskan juara bertahan

Qabil Ambak Mahamad Fathil mengumpul 75.780 pada aksi final di Pusat Ekuestrian Tonglu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Malaysia memperoleh emas kedua pada Sukan Asia Hangzhou menerusi jaguh ekuestrian negara Qabil Ambak Mahamad Fathil hari ini.

Bersama kudanya dikenali Rosenstolz, atlet berusia 43 tahun itu cemerlang mengatasi pemenang pingat emas 2018, Jacqueline Siu dari Hong Kong apabila mengumpul 75.780 mata dalam final di Pusat Ekuestrian Tonglu.

Jacqueline menghimpun 73.450 mata meraih pingat perak, manakala Anush Agarwalla dari India (73.030) memenangi pingat gangsa, menurut Berita Harian.

Qabil sebelum ini dilaporkan berkata, dia membuat keputusan untuk beralih semula ke Rosenstolz kerana dia merasakan kuda baharunya, Napoli masih belum bersedia untuk menggalas cabaran.

Dia yang berpangkalan di Aarhus, Denmark sebelum terbang ke China berlatih dan menyertai kejohanan dengan Napoli yang berusia 10 tahun tetapi bersama Rosenstolz yang berusia 17 tahun menyaksikan dia memenangi perak di Jakarta-Pelembang, lima tahun lalu.

Semalam, pelayar, Nur Shazrin Mohamad Latif menghadiahkan pingat emas pertama negara pada temasya itu dalam acara ILCA 6 wanita.