Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

SPRM komited kekang aset awam tiris, kembalikan kekayaan negara

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA) sedang dikaji untuk dicadangkan kepada kerajaan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menumpukan usaha membantu meningkatkan semula ekonomi negara dengan mengurangkan ketirisan dan mengembalikan kekayaan negara, kata Ketua Pesuruhjaya Azam Baki.

Beliau berkata, sesuai dengan peredaran semasa, SPRM melaksanakan kaedah terkini dan profesional bukan sahaja bagi membanteras jenayah rasuah, malah mengatasi ketirisan bagi mendapatkan kembali aset dan dana kerajaan.

Katanya, SPRM telah membentuk satu kaedah penyiasatan kes berprofil tinggi melibatkan individu berjawatan atau berkedudukan tinggi dengan menggunakan kaedah Siasatan Berasaskan Risikan (IBI).

“Kaedah ini digunakan untuk kes dengan analisis mendalam yang dilakukan terhadap subjek-subjek sebelum siasatan menyeluruh dijalankan. Bermula dengan identifikasi pelaku-pelaku rasuah berprofil tinggi dan seterusnya pemulihan aset, sebelum aset dapat dikembalikan kepada kerajaan.

“Kaedah IBI ini dapat membongkarkan kesalahan rasuah besar,” katanya dalam wawancara khas sempena Ulang Tahun SPRM ke-56 di Ibu Pejabat SPRM.

Katanya, SPRM juga menjalankan siasatan menerusi kaedah Model Pengurusan Penyiasatan Berpasukan (MTI) bagi memastikan kertas siasatan dilengkapkan dengan cekap dan berkualiti.

“Apabila berlakunya rasuah dan salah guna kuasa, ia melibatkan ketirisan yang sangat besar. Hal ini tidak bermakna kes-kes (kecil) lain tidak diutamakan. Tetapi seperti yang saya katakan, menjadi tanggungjawab SPRM membantu negara menjana pendapatan bagi ‘merancakkan’ balik ekonomi,” katanya.

Pada masa sama, katanya siasatan, pertuduhan, dan beberapa proses perundangan lain masih diteruskan seiring dengan usaha pemulangan (repartriasi) sumber dana awam seperti sedang giat dijalankan seperti mana dicapai dalam kes 1MDB.

Dalam pada itu, katanya terdapat segelintir masyarakat tidak memahami kelebihan pelaksanaan kaedah tersebut dan perlu diberi kesedaran berkenaan pendekatan baharu itu.

“Mereka beranggapan pertuduhan itu penting. Saya tidak menganggap ia (pertuduhan) tidak penting, tetapi kalau boleh jimatkan kos untuk perbicaraan tanpa ia berjalan begitu lama, itu juga lebih baik,” katanya menambah pendekatan tersebut juga diguna pakai di negara maju seperti di Amerika Syarikat (AS) yang menjadi rujukan SPRM.

Perjanjian Pendakwaan Tertunda

Susulan itu, Azam berkata suruhanjaya itu sedang mengkaji pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA) di mana proses pertuduhan terhadap mana-mana pihak berkaitan akan ditangguhkan.

“Kita akan mencadangkan kepada kerajaan supaya undang-undang ini (DPA) diadakan di mana pertuduhan ditangguhkan dan satu penyelesaian akan diambil atau dicapai supaya negara mendapat pulangan yang lebih besar,” katanya.

Menyentuh mengenai pencapaian SPRM sepanjang tahun lalu, Azam berkata 820 kertas siasatan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa telah dibuka dengan 766 atau 93.41% kes berjaya diselesaikan dalam tahun semasa.

Pelucuthakan aset

Bagi pelucuthakan dan pemulihan aset oleh SPRM, katanya jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM149,695,341.49, manakala keseluruhan kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 direkodkan pada tahun lalu adalah RM44,454,800.

“Penyumbang tertinggi nilai lucut hak adalah menerusi Ops 1MDB berjumlah RM64,386,825.68, hasil kerjasama strategik pasukan penjejakan aset 1MDB yang dianggotai SPRM serta agensi penguat kuasa lain bersama Jabatan Kehakiman (DOJ) AS dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI),” katanya.

Bagi tahun ini, dari Januari hingga Ogos, seramai 869 individu disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah ditahan dengan 324 daripadanya adalah penjawat awam.

Selain itu, katanya 326 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan memberi dan menerima rasuah, tuntutan palsu, dan salah guna kuasa.