Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Sindiket seludup makanan sejuk beku tumpas, rampasan RM2 juta

Timbalan Pengarah JKDNKA (Gerakan) Mohd Hishamudin Tahar menunjukkan barangan rampasan hasil serbuan semalam. (Gambar Bernama)

SANDAKAN: Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), menumpaskan sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku dari loji tidak diiktiraf, dianggarkan bernilai RM2,722,604.

Timbalan Pengarah JKDNKA (Gerakan), Mohd Hishamudin Tahar, berkata serbuan ke atas sebuah premis di kawasan perindustrian ringan, di sini, semalam, merampas sejumlah 9,782 kotak mengandungi pelbagai bahagian daging ayam seperti sayap, paha dan dada.

“Sembilan individu terdiri lima lelaki dewasa tempatan dan empat lelaki dewasa asing, diperiksa dalam serbuan di sini. Kes akan disiasat bawah Enakmen Haiwan Sabah 2015.

“Polis melalui JKDNKA sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam, serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau barangan rampasan itu di premis berkenaan.

Hishamudin berkata, sejak Januari tahun ini, WCB/PSK berjaya melancarkan lapan serbuan di Sabah dan dua di Sarawak, terhadap kumpulan sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM44,281,391.70.

Pengarah JPVS, Dr Normah Yusop, berkata pihaknya meragui kegiatan premis itu sejak tahun lalu, namun dengan kerjasama polis terutama menerusi PGA, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah membuat pendekatan serbuan lebih bersepadu.

“Kita mengesyaki barangan (daging ayam) diimport dari loji tidak diiktiraf di China, Australia, Denmark dan Poland, iaitu loji tidak mempunyai sijil halal.

“Barangan ini disyaki untuk pasaran tempatan, juga pulau-pulau di Filipina,” katanya.