Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Serap atau kongsi kos MDR dengan bank, kerajaan digesa

PayNet mengesahkan semua peniaga akan dicaj kadar diskaun pedagang untuk pembayaran diterima menerusi DuitNow bermula 1 November ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan harus menyerap caj kadar diskaun pedagang (MDR) yang dikenakan ke atas peniaga yang menerima pembayaran melalui platform kod QR DuitNow atau berkongsi kos itu dengan bank, kata sebuah kumpulan perniagaan.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berkata tindakan itu boleh dilaksanakan kerana kerajaan, melalui Bank Negara Malaysia (BNM), adalah pemegang saham terbesar Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

PayNet mengendalikan DuitNow dan berperanan sebagai rangkaian pembayaran negara, dengan 11 institusi kewangan, seperti Maybank, CIMB Bank, dan AmBank, sebagai pemegang saham bersama.

Presiden Samenta, William Ng, mengakui bahawa memiliki platform pembayaran QR tunggal adalah penting untuk memastikan kemudahan semua pihak, dari pengguna kepada penjual, dan dengan itu menggalakkan transaksi tanpa tunai.

“Bagaimanapun, sebagai pemegang saham utama, kerajaan juga seharusnya menyerap atau berkongsi kos dengan institusi kewangan untuk mempercepat transisi masyarakat tanpa tunai.

“Sasaran kita adalah menjadikan Malaysia tanpa tunai. Inilah sebabnya mengapa keputusan PayNet untuk mengenakan bayaran ini adalah langkah yang sangat kebelakang,” katanya kepada FMT.

Sebagai alternatif, Ng mencadangkan kadar MDR yang lebih rendah daripada yang akan dilaksanakan mulai 1 November, dan memberi amaran bahawa peniaga mungkin akan kembali dengan hanya menerima pembayaran tunai.

“Kita harus sedar bahawa PayNet pada dasarnya adalah monopoli dan peniaga tidak mempunyai pilihan selain menggunakan DuitNow selepas melabur banyak masa dan sumber untuk menggalakkan pelanggan membayar melalui kod QR tunggal,” katanya.

Semalam, PayNet mengesahkan pengguna aplikasi itu akan dikenakan caj bermula 1 Nov ini dan menjelaskan MDR bukan perkara baharu kerana dikecualikan ketika tempoh pengenalannya pada 2019.

Bagaimanapun, tiga bank memilih melanjutkan pengecualian MDR, Public Bank dan Maybank dalam kenyataan berkata caj itu akan ditangguhkan “hingga diberitahu” manakala CIMB Bank mengekalkan pengecualian hingga 31 Disember ini.

Ahli ekonomi Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia pula tidak bersetuju dengan pandangan bahawa PayNet mempunyai monopoli terhadap pembayaran QR, kerana tiga bank memilih untuk menangguhkan pengecualian MDR.

Berhubung bayaran MDR, Williams berkata penyedia e-dagang telah menyediakan sistem tanpa tunai tanpa bayaran selama bertahun-tahun tetapi pada masa akhirnya perlu mendapatkan semula kos mereka.