Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Sekat kuasa peguam negara tarik tuduhan di peringkat pembelaan, kata peguam

Peguam Salim Bashir berkata, pindaan menyekat kuasa peguam negara meneruskan kes jenayah perlu mendapat sokongan penuh Parlimen kerana bertujuan mendaulatkan undang-undang.

PETALING JAYA: Seorang peguam kanan menggesa dilakukan pindaan undang-undang supaya pihak pendakwaan boleh menghentikan perbicaraan jenayah di peringkat pembelaan hanya dengan kebenaran mahkamah.

Salim Bashir berkata, Parlimen perlu meminda Perkara 143(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 dan 376 Kanun Tatacara Jenayah untuk memberikan budi bicara kepada mahkamah apabila berdepan permohonan seumpama itu.

“Ketika ini, tangan hakim terikat dan sebarang penolakan akan dilihat cubaan merampas kuasa peguam negara,” katanya kepada FMT.

Perkara 145(3) memberikan kuasa kepada peguam negara, yang juga pendakwa raya kuasa memula, menjalan atau memberhentikan semua prosiding jenayah di mahkamah.

Dalam pada itu, Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah pula memberi kawalan kepada peguam negara dan hala tuju semua pendakwaan jenayah.

Seksyen 254 menyatakan apa jua peringkat perbicaraan, namun sebelum keputusan disampaikan pihak pendakwaan boleh memaklumkan mahkamah hasrat untuk tidak meneruskan kes.

Salim, yang juga bekas presiden Badan Peguam, bagaimanapun berkata pihak pendakwaan perlu diberi budi bicara mutlak menarik atau meminda pertuduhan sehingga penutupan kes pendakwaan.

Beliau berkata, pindaan tersebut sepatutnya menerima sokongan penuh Parlimen kerana bertujuan mempromosi kedaulatan undang-undang dan tadbir urus baik.

Salim berkata demikian mengulas keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkait kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Pada 4 Sept, Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar memohon DNAA bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan lanjut terhadap kes berkenaan, walaupun selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Dalam pada itu, peguam A Srimurugan berkata, membenarkan pihak pendakwaan menarik kes selepas tertuduh dipanggil membela diri dilihat merendahkan dapatan mahkamah.

Katanya, jika tiada alasan kukuh menarik kes, mahkamah sepatutnya diberi kebebasan meneruskan pendengaran kes pembelaan.

Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan pada 2021 memberi peringatan kepada peguam negara perlu menggunakan kuasa budi bicara pendakwaan dengan betul apabila mahu mengemukakan pertuduhan kesalahan jenayah mana-mana individu.

Dalam kes N N Sundra Rajoo berhak mendapat imuniti daripada sebarang tindakan pendakwaan ke atasnya ketika memegang jawatan pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengingatkan pelaksanaan budi bicara secara tidak wajar akan teruk menjejaskan kehidupan individu itu dan masyarakat keseluruhannya.

Mahkamah Persekutuan dalam kes itu memutuskan peguam negara tidak mempunyai budi bicara mutlak atau tidak terikat mengikut Perkara 145(3) dan tidak terikat dalam kes-kes jarang dan luar biasa dan budi bicara itu tertakluk kepada semakan kehakiman.

“Tercetus rasa tidak puas hati masyarakat dalam kes Zahid walaupun peguam negara mempunyai hak dibenarkan, namun secara moralnya salah melaksanakan budi bicaranya,” kata Srimurugan.