Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Rumah terbakar, warga emas tinggal seorang diri rentung

Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal, menurut bomba. (Gambar Pixabay)

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Melalia, dekat Sipitang, Sabah, malam tadi.

Mayat Wong Fook On, 66, ditemukan oleh pasukan bomba di bahagian dapur rumahnya, setelah dipercayai terperangkap dalam kejadian pada kira-kira 7 malam itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.39 malam dan seramai 11 anggota dikejar ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal dan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara yang musnah 100%,” katanya, lapor Sinar Harian.

“Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dan api berjaya dikawal pada 8.05 malam. Pasukan kita menemui mayat seorang lelaki di bahagian dapur.”

Difahamkan mangsa tinggal berseorangan di rumah tersebut.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi ditamatkan pada 10.36 malam selepas didapati tiada bahaya lain di lokasi kejadian, menurut Calvin Joe.