Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Rompak bersenjata, 2 rakan dipenjara 9 tahun

Mohamad Syakir Azroy Md Rodi dan Mohd Azwan Harun dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata. (Bernama pic)

KUALA TERENGGANU: Dua rakan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai runcit di Chabang Tiga dekat, 13 Sept lalu.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman itu selepas Mohamad Syakir Azroy Md Rodi, 28, dan Mohd Azwan Harun, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mereka dituduh merompak wang berjumlah RM1,500 bersenjatakan sebilah sabit yang boleh menyebabkan kematian dan mencederakan juruwang kedai berkenaan dengan melibas sabit sehingga menyebabkannya cedera di leher.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kedai runcit di Chabang Tiga dekat sini pada 2.30 pagi 13 Sept lalu.

Perbuatan mereka dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Mereka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Nabihah Hanim Ayim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.