Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Rayuan Loh berhubung pengislaman anak akan didengar di mahkamah terbuka

Rayuan Loh Siew Hong untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi akan didengar Mahkamah Rayuan pada 19 Okt.

KUALA LUMPUR: Rayuan seorang ibu tunggal untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa anak-anaknya kekal beragama Islam walaupun ditukar agama secara sebelah pihak oleh bapa, akan didengar di mahkamah terbuka bulan depan.

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan wanita terbabit, Loh Siew Hong, yang memohon kesnya didengar secara terbuka selepas mempertimbangkan semua faktor dibangkitkan dalam permohonan dibuat awal minggu ini, menurut peguam Loh, A Srimurugan.

Rayuan itu yang akan didengar pada 19 Okt pada mulanya akan dilakukan secara dalam talian.

Srimurugan menyifatkan kes ini sebagai berkepentingan awam, dan “banyak NGO juga akan memohon kepada mahkamah untuk menjadi pemerhati.”

Haniff Khatri Abdulla, selaku peguam bagi pendaftar mualaf, Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis Asri Zainul Abidin, dan kerajaan Perlis mengesahkan perkembangan ini dan tidak membantah permohonan Loh.

Mahkamah Tinggi pada 11 Mei ketika menolak permohonan semakan kehakiman oleh Loh berkata tidak ada keterangan menunjukkan tiga kanak-kanak terbabit berhenti menganut Islam selepas Loh mendapat hak penjagaan.

Hakim Wan Farid Wan Salleh berkata tidak ada pertikaian bahawa sijil penukaran agama telah dikeluarkan bagi anak-anaknya.

Hakim berkata sijil itu dikeluarkan selepas pendaftar mualaf Perlis berpuas hati keperluan undang-undang bawah suatu enakmen Perlis telah dipatuhi dan kanak-kanak itu mengucap kalimah syahadah secara sukarela.

Loh pada 25 Mac tahun lalu memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa peruntukan dalam suatu enakmen Perlis, yang membolehkan ibu atau bapa menukar agama anak bawah umur secara sebelah pihak, tidak mengikut Perlembagaan.