Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Premis kerajaan dicadang guna beras import subsidi, kata Mat Sabu

Mohamad Sabu berkata penggunaan beras tempatan banyak diguna di premis kerajaan terutama hospital, pusat latihan polis, kem tentera, dan asrama sekolah. (Gambar fail)

BENTONG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan membawa cadangan supaya premis kerajaan seperti hospital, pusat latihan polis, kem tentera, dan asrama sekolah menggunakan beras import bersubsidi.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, langkah itu dijangka dapat mengembalikan sejumlah besar beras tempatan ke pasaran kerana penggunaan premis berkenaan terhadap beras tempatan buat masa ini adalah tinggi.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan pada Isnin.

“Kita gunakan beras lokal ini untuk orang awam, maka (premis) kerajaan beli beras import dengan harga (bersubsidi) yang tidak tinggi, mungkin dalam RM32 hingga RM35 sekampit,” katanya selepas menghadiri program Sembang Santai Perpaduan di Simpang Pelangai malam tadi.

Sementara itu, Mohamad berkata India dijangka akan memberi jawapan sama ada negara itu akan membenarkan beras putih terus dieksport ke Malaysia pada minggu depan.

Terdahulu, Mohamad berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari India bagi menyatakan hasrat Malaysia agar negara itu terus mengeksport beras putih ke negara ini.

Mengenai dakwaan kekurangan bekalan beras tempatan berpunca daripada tindakan pembekal menyorokkan stok, beliau menafikan perkara berkenaan dan menjamin tindakan penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara.

Beliau meminta orang ramai untuk tidak mengambil tindakan melulu dan menyerbu mana-mana premis yang disyaki menyorok bekalan beras tempatan.

“Jangan kita ambil undang-undang di tangan kita sendiri. Kalau ada kita dengar (berlaku penyorokkan bekalan) kita lapor, insya-Allah pegawai-pegawai penguat kuasa akan bertindak. Lapor kepada kementerian yang berkaitan atau buat laporan kepada pihak polis,” katanya.