Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Polis reman rakan suspek mati ditembak di Machang

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata suspek yang maut mempunyai 11 rekod jenayah dan tiga kes dikehendaki. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Seorang penjawat awam yang juga rakan suspek disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri lembu, yang maut ditembak selepas menyerang anggota polis di Kampung Joh, Labok, Machang pada Isnin lepas, ditahan reman selama tujuh hari.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata lelaki berumur 43 tahun itu yang ditahan pada hari kejadian, direman bermula semalam hingga 2 Okt ini untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua suspek (termasuk suspek yang mati ditembak) positif dadah jenis methamphetamine … ketika kejadian, kedua-dua suspek didapati berada dalam keadaan khayal,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan.

Zaki berkata, suspek yang maut mempunyai 11 rekod jenayah dan tiga kes dikehendaki iaitu bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah rumah dan Seksyen 427 KK atas kesalahan khianat, serta Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Dalam siasatan tempoh hari, kita merampas sebilah parang dan ubat pelali yang sebahagiannya masih belum digunakan, bermakna banyak tempat yang akan mereka pergi (untuk mencuri lembu).

“Kami juga mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan polis Klang, Selangor berkemungkinan suspek ini turut terlibat dengan kes samun di Klang berdasarkan penemuan kad pengenalan seorang mangsa samun di sana,” katanya.

Pada Isnin lepas, seorang lelaki berumur 33 tahun maut ditembak selepas menyerang anggota polis dengan senjata tajam. Sebelum itu, polis mengejar kenderaan suspek yang didapati mencurigakan sebelum kenderaan itu terbabas lalu suspek keluar menyerang anggota polis.

Siasatan lanjut mendapati sebelum kejadian, suspek disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri lembu di kawasan kampung itu ekoran terdapat seekor lembu yang baru disembelih di lokasi berkenaan.