Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Polis cari pelanggan ‘diminta bayar’ sos cili RM1

Polis berkata versi kejadian dilaporkan lelaki itu ialah dia diminta membayar sos cili tambahan dimintanya selepas membeli makanan di restoran terbabit. (Gambar Facebook)

MELAKA: Polis Melaka sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan lanjut berhubung perselisihan faham berkaitan pembelian sos cili di sebuah restoran makanan segera di Taman Buaya di sini pada 22 Sept lepas.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata rakaman percakapan lelaki berusia 45 tahun yang juga peniaga itu, diperlukan kerana terdapat beberapa versi kejadian itu daripada kedua-dua pihak.

“Kita telah menerima laporan polis dibuat pekerja wanita restoran makanan segera berkenaan di Balai Polis Ayer Keroh pada 7.16 malam semalam kerana berasa terancam dan risau keselamatan dirinya selepas pelanggan lelaki berkenaan merakam insiden itu.

“Rakaman percakapan wanita tersebut juga telah diambil semalam, selepas beliau hadir ke IPD Melaka Tengah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, versi kejadian dilaporkan lelaki itu ialah beliau diminta membayar sos cili tambahan dimintanya selepas membeli makanan di restoran terbabit.

“Versi kedua dari pekerja wanita berkenaan pula ialah beliau dipaksa lelaki tersebut menjual 10 paket sos cili, walaupun telah diterangkan tiada pembelian sos cili dibenarkan kerana ia diberikan percuma oleh restoran makanan segera itu.”

Beliau berkata, wanita itu turut dimarahi dan ditengking lelaki terbabit dalam kejadian 10 hingga 11 malam 22 Sept lalu.

Katanya, tiada kecederaan atau kerugian dilaporkan dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Dalam pada itu, Christopher berkata, semakan menerusi “Integrated Police Reporting System” (IPRS) mendapati satu laporan dibuat berhubung kes itu oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, susulan tindakan kompaun ke atas premis itu kerana tidak mempamerkan tanda harga.

Semalam, syarikat pengendali restoran makanan segera tersebut dalam kenyataan memaklumkan insiden itu ekoran kakitangannya memberikan sos cili paket tidak mencukupi bersama hidangan makanan dibeli pelanggan menyebabkannya berang dan insiden caj RM1 bagi satu paket sos cili berlaku.