Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Peruntukan, subsidi tambahan perlu untuk bangunkan kawasan tanam padi

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menyarankan kerajaan negeri membangunkan kawasan penanaman padi di negeri masing-masing bagi meningkatkan pengeluaran beras.

PETALING JAYA: Peruntukan dan subsidi tambahan daripada kerajaan pusat diperlukan untuk membangunkan kawasan penanaman padi, kata dua exco pertanian.

Pandangan itu disuarakan Dr Akmal Saleh dan Izham Hashim masing-masing dari Melaka serta Selangor sebagai mengulas saranan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, kerajaan negeri membangunkan kawasan penanaman padi di negeri masing-masing bagi meningkatkan pengeluaran beras dalam negara.

Akmal, exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan makanan berkata untuk meningkatkan pengeluaran padi memerlukan subsidi baja, benih dan racun tambahan daripada kerajaan pusat.

Beliau yang menyokong saranan Mohamad berkata, tanpa subsidi kebanyakan pesawah tidak boleh “survive”.

Dr. Akmal Saleh.

“Untuk satu hektar hanya 1.5 tan sahaja hasil tuaian akan dapat subsidi. Jika kerajaan mahu meningkatkan kepada dua tan, lebihan 0.5 tan itu tidak ada subsidi dan ditanggung sendiri pesawah. Ini yang kita minta kerajaan pertimbangkan,” katanya kepada FMT.

“Jika beri subsidi (tambahan) ramai pesawah mampu tingkatkan hasil pengeluaran padi.”

Sementara itu, Izham berkata pihaknya akan mengemukakan peruntukan kepada kerajaan pusat bagi keperluan penyediaan prasarana sistem saliran dan rawatan tanah untuk membangunkan penamaan padi.

Izham Hashim.

“Sedang teliti dan kita akan bawa perkara ini ke pihak atasan. Telah siap secara terperinci apa bentuk prasarana dan keperluan untuk tingkatkan produktiviti atau pengeluaran bagi sawah di Selangor.

“Saya rasa akan cecah ratusan juta,” kata exco infrastruktur & kemudahan awam dan pemodenan pertanian & industri asas tani itu.

Izham berkata, Selangor juga sedang meneliti untuk meningkatkan pengeluaran padi di sawah sekitar 18,000 hektar di Sabak Bernam.

“Dulu kebiasaannya padi boleh dapat dalam 10 hingga 12 tan bagi satu hektar. Tetapi sekarang jadi empat tan. Ini lebih penting untuk naikkan kembali kepada 10 hingga 12 tan hasil pengeluaran padi kita,” katanya.