Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Peniaga resah untung makin ‘tipis’ jika caj QR DuitNow dilaksana

Peniaga menyifatkan langkah yang mendorong pengguna membuat pembayaran secara tunai “langkah ke belakang”. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengenaan caj ke atas pengguna aplikasi QR DuitNow meresahkan peniaga kecil, yang kebanyakan bimbang “untung tidak seberapa” makin mengecil.

Seorang pengusaha bubur lambuk, Azam Bakri berkata beliau mungkin tiada pilihan kecuali mengalihkan kos tambahan kepada pelanggan, sekiranya caj dikenakan ke atasnya.

“Kalau nak guna juga ‘QR’, kita kena caj pelanggan juga. Tak adil lah kita kena tanggung semua,” katanya kepada FMT, ketika ditemui di gerainya di Puncak Alam.

“Sudahlah untung meniaga sen-sen saja. Kalau kena caj juga makin tipis la keuntungan,” katanya yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan itu sejak 2019.

Pengendali aplikasi, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), dalam kenyataan berkata pengguna akan dikenakan caj bermula 1 Nov, namun menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan tidak akan terkesan.

Ia menjelaskan bahawa sebelum ini, kadar diskaun pedagang atau “merchant discount rate” (MDR) diketepikan ketika tempoh pengenalannya pada 2019.

Secara amnya, MDR fi yang dikenakan ke atas pedagang bagi pemprosesan bayaran. Ia dikenakan oleh pihak yang melakukan pemprosesan itu.

Rizwan Rohaizad, 32, yang mengusahakan dua cawangan Kopi Saigon, menjelaskan keresahan dalam kalangan peniaga berlatarkan kenaikan kos operasi mutakhir ini.

“Kalau begini, kami akan bertukar kepada bayaran tunai atau pemindahan secara dalam talian sajalah,” katanya kepada FMT, namun menambah peralihan itu akan mengambil masa.

“Notis ni singkat sangat, kita nak kena standby macam-macam.”

Di Pulau Pinang, pemilik Restoran Hameediyah, Riyaaz Syed Ibrahim percaya pengenaan caj itu akan menyebabkan lebih ramai orang membayar secara tunai, meskipun pembayaran secara QR code, atau kod tindak balas cepat, lebih memudahkan.

Beliau berkata urusan di kaunter akan bertambah sekiranya lebih ramai orang membayar secara tunai, sebaliknya kutipan wang berlaku terus ke akaun bank dengan sistem QR code.

“Saya rasa kerajaan tidak patut biarkan agar orang ramai terus menggunakan e-dompet,” katanya kepada FMT.

Pengusaha nasi kandar terkenal itu menambah, “memandangkan kesusahan yang dihadapi rakyat ketika ini, kami mungkin akan serap caj itu.”

Rizwan senada dengan kelebihan sistem QR code kerana ia mengurangkan risiko kecurian; manakala Azam menyifatkan langkah yang mendorong pengguna membuat pembayaran secara tunai “langkah ke belakang”.

“Kalau begini, kita balik semula guna wang tunai macam dulu-dulu,” katanya.