Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Pengecualian MDR untuk 75% perniagaan dilanjutkan, kata BNM

Menurut Bank Negara Malaysia, perniagaan yang menggunakan DuitNow QR sebagai kaedah pembayaran juga tidak perlu membayar kos berulang untuk sewaan terminal jualan.

PETALING JAYA: Pengecualian kadar diskaun pedagang (MDR) akan dilanjutkan ke atas 75% peniagaan yang menerima pembayaran menerusi platform kod QR DuitNow, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam satu kenyataan, ia berkata, bank-bank utama dan penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank terpilih telah mengumumkan pengecualian itu terhadap perniagaan mikro dan kecil.

“Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) akan memperuntukkan sumber bagi membantu membiayai kos yang ditanggung pemeroleh yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran secara DuitNow QR.

“DuitNow QR tetap menjadi kaedah pembayaran yang mampu milik dan menjimatkan kos. Bagi pelanggan individu, penggunaan DuitNow QR untuk membuat pembayaran tidak akan dikenakan apa-apa caj tambahan,” katanya.

Tambahnya, bagi perniagaan, sebarang caj transaksi yang dikenakan kekal rendah seperti yang dikenakan ke atas pembayaran menggunakan kad debit, atau lebih rendah daripada caj tersebut.

Menurut BNM, perniagaan yang menggunakan DuitNow QR sebagai kaedah pembayaran juga tidak perlu membayar kos berulang untuk sewaan terminal jualan bagi saluran berasaskan kad atau kos tambahan untuk overhead dan pentadbiran bagi mengendalikan pembayaran tunai.

“BNM terus memberikan komitmen penuh bagi menyokong penerapan pembayaran digital secara meluas di Malaysia melalui ekosistem pembayaran yang memberangsangkan, selamat dan inklusif, yang juga mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata apa-apa caj bagi transaksi pembayaran menggunakan kod QR tidak akan menjejaskan golongan berpendapatan rendah.