Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Peguam jangka keputusan petisyen Najib ke PBB sebelum akhir tahun

Najib Razak mengemukakan petisyen kepada UNWGAD pada 5 Jan lalu bagi memohon pembebasan daripada penjara atau perbicaraan semula kes SRC International terhadapnya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Peguam Najib Razak menjangkakan keputusan petisyen bekas perdana menteri itu kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD) diperolehi sebelum akhir tahun ini.

Shafee Abdullah berkata, keputusan petisyen itu boleh dijadikan asas untuk memohon perbicaraan kali kedua bagi Najib membabitkan kes SRC International.

“Kes ini sedang dikaji di Geneva, saya harap tidak lama lagi, peguam negara melalui menteri luar akan dijemput untuk memberi pandangan mereka. Mesti ada sesuatu pendapat awal.

“Kemudian satu keputusan akan dibuat, ini akan dibuat sebelum akhir tahun ini,” kata Shafee dalam forum “Dialog Awam: Keadilan Untuk Siapa” di Wisma MCA.

Pada 5 Jan lalu, Najib mengemukakan petisyen kepada UNWGAD bagi memohon pembebasan daripada penjara atau perbicaraan semula kes SRC International terhadapnya, melalui penghantaran digital ke pejabat PBB di Geneva.

Najib disabitkan bersalah pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bekas presiden Umno itu mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022, selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya, disusuli Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman asal.

Shafee berkata, pihaknya perlu meminta bantuan pihak luar bagi mendapatkan keadilan buat Najib.

“Kita patut yakin dengan sistem kita, tapi bila terpaksa minta (bantuan) dengan orang luar, itu sesuatu yang memalukan.”

Katanya, UNWGAD dikenali sebagai badan bergiat aktif dalam menegakkan hak asasi.

“Permohonan itu lebih kurang sama seperti permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, oleh sebab di sana jawatankuasa yang lihat adalah ‘top brain’ perundangan di peringkat dunia.

“Ini bukan sesuatu yang sia-sia. Kita boleh guna pendapat PBB di Geneva sebagai tapak untuk ‘review’ kali kedua kes Najib.”