Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

PAS tak layan cadangan ‘tinggalkan PN’, minta BN pula keluar kerajaan

Ahmad Fadhli Shaari cadang BN tinggalkan kerajaan perpaduan untuk perkasa Islam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan cadangan supaya parti itu meninggalkan Perikatan Nasional (PN) untuk bersama kerajaan perpaduan sebagai tidak masuk akal.

Sehubungan itu, Fadhli yang juga ketua Pemuda PN berkata gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi tidak harus dilayan.

Beliau sebaliknya mencadangkan pula Barisan Nasional (BN) keluar daripada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim jika ingin memperkasa Islam, alasan digunakan Puad supaya PAS keluar PN.

“Saya nasihat supaya Puad sentiasa berfikiran rasional dan tak melontarkan pandangan sembarangan macam ini,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengulas cadangan Puad supaya PAS meninggalkan PN untuk menjayakan agenda memperkasa Islam dalam kerajaan perpaduan.

Puad berkata, PAS tidak wajar membuang masa “menebuk atap” dan menghukum orang lain dengan mengeluarkan pelbagai fatwa memecahbelahkan orang Melayu.

Kenyataannya itu menyusul kritikan bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa yang kini menyertai PAS bahawa parti orang Melayu itu sudah tidak lagi relevan kerana rakyat masih mengekalkan sentimen “No Anwar, No DAP”, dan kini “No Umno” susulan keputusan PRN bulan lalu.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu turut mengajak ahli Umno menyertai PAS jika mahu meneruskan perjuangan agenda Melayu.

Selepas PRU15, Umno menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan perpaduan diketuai Anwar manakala PAS yang bersama PN menolak cadangan dibuat Yang di-Pertuan Agong.