Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

PAS mungkin calon semula Che Alias di Kemaman, kata Takiyuddin

Pada PRU15, Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru di Parlimen Kemaman. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: PAS tidak menolak kemungkinan mencalonkan semula Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman sekiranya alasan penghakiman yang membatalkan kemenangannya pada PRU-15 lalu tidak menamakan sesiapa melakukan kesalahan rasuah.

Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata pihaknya akan meneliti hujahan penghakiman terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat berkait pemilihan calon.

“Kami nak tengok dulu ada alasan dan ‘finding’ hakim kes di Kemaman. Kalau hakim kata ada amalan rasuah tapi tak namakan sesiapa maknanya calon kami di Kemaman boleh tanding semula. Mungkin akan buat keputusan seperti di PRK Kuala Terengganu.

“Di Kuala Terengganu, petisyen Umno dibenarkan, yang penting hakim nyatakan dia dapati ada amalan berbentuk rasuah tapi hakim tak menamakan pihak yang rasuah. Calon kami (Ahmad Amzad Hashim) tak dianggap amalkan rasuah sebab itu beliau boleh bertanding semula,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS.

Selasa lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Kemaman selepas mendapati bantuan i-Belia dan i-Siswa dibayar kepada pengundi semasa tempoh berkempen merupakan rasuah.

Che Alias yang mewakili PN memenangi kerusi itu dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru.

PRK akan diadakan jika PAS tidak merayu keputusan dibuat Hakim Anselm Charles Fernandis itu sehingga 3 Okt ini.