Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Nadma terima aset perubatan RM6 juta disumbang AS

Manu Bhalla (kiri) menyerahkan sumbangan aset ‘Forward Anesthesia Surgical Trauma’ kepada Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim (kanan) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerima sumbangan aset perubatan bernilai RM6 juta dikenali sebagai “Forward Anesthesia Surgical Trauma” (FAST) daripada Markas Pemerintahan Indo-Pasifik Amerika Syarikat (AS).

Penyerahan aset itu dilakukan Kuasa Usaha Kedutaan AS, Manu Bhalla kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, dalam satu majlis di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini.

Tengku Muhammad Fauzi berkata, aset FAST itu digunakan dalam pengoperasian Hospital Medan Malaysia semasa misi bantuan kemanusiaan di Turki Februari lalu.

“Sebanyak 52 item dalam FAST ini merupakan peralatan perubatan yang digunakan untuk menjalankan pembedahan pesakit memerlukan bius penuh dan bius separuh,” katanya dalam sidang media di sini.

Manu pula berkata, FAST membantu mengukuhkan hubungan orang awam dan tentera, selain memberi peluang dua negara bekerjasama dalam menangani krisis kemanusiaan di Malaysia dan seluruh dunia.

“Kedutaan AS sangat menghargai hubungan kukuh kami dengan Nadma dan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia yang hanya mula diperkukuhkan sejak tercetusnya wabak Covid-19 pada 2020,” katanya ketika berucap dalam majlis itu.

Beliau berkata, AS dan Malaysia mempunyai sejarah panjang dalam isu kesihatan awam, termasuk mengenal pasti kemunculan penyakit berjangkit dan ancaman menerusi tugas mereka di Sabah.

“Selain itu, di bawah program global Usaid (Agensi AS untuk Pembangunan Antarabangsa), kerajaan AS menyediakan USD200 juta untuk penyelidikan di Borneo lebih sedekad lepas bagi mengesan dan memahami lebih mendalam penyakit berjangkit yang muncul daripada asal zoonotik.

“Pada masa ini, Institut Kesihatan Negara membiayai Hab Penyakit Berjangkit Baru Muncul – Kerjasama Penyelidikan Asia Tenggara yang berfungsi sebagai sistem amaran awal untuk wabak.”