Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

‘Memang kerajaan kawal harga barang asas’, Fuziah beritahu Akmal

Fuziah Salleh berkata Dr Akmal Saleh sebagai exco harus memahami punca kuasa.

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh mempersoalkan gesan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh supaya kerajaan mengawal sepenuhnya pengurusan barangan keperluan asas.

Fuziah berkata kerajaan sememangnya mengawal harga barangan asas seperti RON 95, diesel, beras tempatan, gula, minyak masak paket, ayam bulan standard, dan telur ayam gred A, B, serta C.

“Akmal perlu perjelas apa maksud kenyataan beliau.

“Dia ni exco (kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan makanan Melaka), jadi dia kena faham punca kuasa,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas gesaan Akmal supaya kerajaan mengawal sepenuhnya pengurusan barangan keperluan asas.

Akmal berkata kerajaan sepatutnya mengawal dan mengurus semua barang makanan asas seperti beras, tepung, minyak dan gula, bukan memberikan hak sepenuhnya kepada pihak swasta.

Kenyataan itu menyusul selepas Fuziah mengarahkan Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd menjelaskan kenaikan harga 30 produknya antara 10 sen hingga 40 sen mulai Ahad ini.

Antara produk mengalami kenaikan harga ialah Twiggies, Puazz Sambal Bilis, Sambal Mackerel dan Kari Ayam, Quick Bites Butter Toffee dan Red Beans, Quick Bites Cream Rolls, Numee Yelllow Noodle dan Numee Keluarga.