Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Mayat bayi ditemukan dalam tong sampah

Polis berkata mayat bayi terbabit dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi proses bedah siasat dan siasatan berhubung kejadian masih dijalankan.

PETALING JAYA: Mayat bayi perempuan cukup sifat ditemukan dalam tong sampah di sebuah kawasan flat di Ayer Itam, Georgetown, pagi tadi.

Mayat bayi yang masih bertali pusat itu ditemukan sekumpulan pekerja pembersihan ketika melakukan kerja mengangkat sampah di flat Blok 4E Farlim kira-kira 10 pagi.

Pemandu lori sampah yang enggan nama disiarkan berkata, mayat bayi berkenaan tidak berpakaian dan dipercayai berada di bahagian bawah tong sampah.

“Mayat itu mungkin berada di bahagian bawah tong sampah kerana ditemukan sebaik tong diterbalikkan.

“Mayat itu sudah kembung, dipenuhi lalat serta sampah. Sampah di sini kami pungut setiap hari dan kali terakhir pada 11 pagi semalam,” katanya, menurut Harian Metro.

Pemandu lori terbabit kemudiannya menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Timur Laut Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan penemuan terbabit.

“Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi proses bedah siasat dan siasatan berhubung kejadian masih dijalankan,” katanya.