Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Mansuh pencen penjawat awam cadangan mengarut, Cuepacs beritahu KJ

Adnan Mat mengingatkan Khairy Jamaluddin penjawat awam bukan seperti ahli politik yang berkhidmat dalam tempoh singkat tapi diberi imbuhan tinggi.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan cadangan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin supaya skim pencen penjawat awam dimansuhkan adalah mengarut serta tidak wajar dibangkitkan.

Presiden Adnan Mat berkata skim pencen bagi penjawat awam adalah pengiktirafan terhadap khidmat mereka serta tidak wajar dilihat sebagai bebanan.

“Tidak wajar untuk mana-mana ahli politik mempersoalkan keistimewaan penjawat yang menikmati skim pencen apabila majoriti daripada mereka berkhidmat lebih 30 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Khairy dilapor mencadangkan pencen penjawat awam dihapuskan “bagi membantu mengimbangi fiskal negara” ketika mengulas cadangan menggantikan pencen bagi Ahli Parlimen dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di podcast Keluar Sekejap semalam.

Adnan mengingatkan bekas menteri itu, penjawat awam bukan seperti ahli politik yang berkhidmat dalam tempoh singkat tapi diberi imbuhan tinggi dan menikmati pencen yang besar.

Beliau mendedahkan ada penjawat awam yang menikmati pencen sekitar RM1,000 sebulan walaupun 30 tahun berkhidmat.

Sebaliknya, ada wakil rakyat yang menerima dua pencen walaupun tempoh perkhidmatan mereka “sangat singkat” jika dibandingkan dengan penjawat awam.

“Sepatutnya cadangkan sahaja untuk berikan satu pencen sahaja kepada ahli-ahli Yang Berhormat layak terima sekiranya mahu membantu menjimatkan duit kerajaan,” katanya.