Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Mangsa banjir Kedah menurun

Menurut APM Kedah, tiga pusat pemindahan sementara di Kedah telah ditutup selepas jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,550 mangsa. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah berkurangan kepada 1,550 orang daripada 468 keluarga berbanding 1,908 orang daripada 576 keluarga, pagi tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Suhaimi Mohd Zain, berkata semua mangsa dari daerah Kubang Pasu, Pokok Sena, Baling dan Kota Setar itu ditempatkan di 12 PPS.

Beliau berkata di Kubang Pasu terdapat satu PPS yang masih beroperasi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dan Dewan PPK Lubuk Batu telah ditutup sepenuhnya, petang tadi.

“PPS di Pokok Sena pula di SK Bukit Hijau dan Maahad Tarbiyah Derang masih menempatkan mangsa banjir manakala SK Permatang Limau yang dibuka Rabu lalu telah ditutup sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Suhaimi berkata PPS di Baling melibatkan SK Iboi, SMK Jerai, SK Kampung Keda dan Surau Annur.

“Di Kota Setar, PPS melibatkan SK Taman Aman, SMK Kepala Batas, SK Seri Gunung, SK Titi Gajah dan SMK Alor Merah,” katanya.