Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Mangsa banjir Kedah meningkat 1,813 orang

Penduduk setempat melihat jambatan di Kampung Padang Empang, Baling telah dihanyutkan arus dalam kejadian banjir di kampung itu malam tadi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 1,813 orang daripada 530 keluarga malam ini, berbanding 1,220 orang daripada 372 keluarga pagi tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Suhaimi Mohd Zain, berkata semua mereka daripada daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Baling, dan ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata di Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena, masing-masing terdapat tiga PPS yang dibuka, manakala di Baling, empat PPS.

“PPS di Kubang Pasu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, SK Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu, manakala PPS di Kota Setar pula (SK Taman Aman, SMK Kepala Batas dan SK Seri Gunung).

“Selain itu, PPS di Pokok Sena pula di SK Bukit Hijau, Maahad Tarbiyah Derang dan SK Permatang Limau, manakala PPS di Baling melibatkan SK Iboi dan SMK Jerai, SK Kampung Keda dan Surau Annur,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu di Perlis, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 48 orang berbanding 42 orang pagi tadi dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangasaan Kubang Gajah, Arau.

Pengarah APM Perlis, Izaimi Md Daud, berkata tambahan enam orang itu melibatkan sebuah keluarga dari Kampung Alor Ara.

“Sehingga kini terdapat seramai 48 orang mangsa daripada 17 buah keluarga yang terdiri daripada 31 orang dewasa, 15 kanak-kanak dan dua orang bayi di PPS ini.

“Jika malam ini tidak hujan dan air pasang malam tidak memberi kesan kepada paras air..insya-Allah mangsa mungkin akan dibenarkan pulang esok,” katanya ketika dihubungi Bernama.