Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Mangsa banjir di Kedah turun, 3 PPS masih dibuka

Seramai 437 mangsa banjir daripada 147 keluarga masih berlindung di tiga PPS di Kota Setar, setakat 8 malam tadi. (Gambar Facebook APM Baling)

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah semakin menurun apabila hanya tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Kota Setar yang menempatkan 437 orang daripada 147 keluarga, setakat 8 malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata jumlah itu berkurangan berbanding 1,383 mangsa daripada 420 keluarga di 12 PPS pada 8 pagi tadi.

“Tiga PPS masih beroperasi di Kota Setar ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman yang menempatkan 277 mangsa daripada 95 keluarga, SK Seri Gunung (103 orang daripada 33 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah (57 mangsa daripada 19 keluarga).

“Sembilan PPS, iaitu satu di Kubang Pasu, dua di Kota Setar, dua di Pokok Sena dan empat di Baling ditutup sepenuhnya petang tadi,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Suhaimi berkata, keadaan cuaca semakin baik dan paras air surut di beberapa kawasan membolehkan mangsa pulang ke rumah.