Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Malaysia kutuk ekstremis Israel ceroboh Masjid Al-Aqsa

Kementerian Luar berkata, pencerobohan di Masjid Al-Aqsa disengajakan rejim Israel bagi mencabar status quo undang-undang serta politik Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif. (Gambar AP)

PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk pencerobohan oleh pendatang ekstremis Israel di Masjid Al-Aqsa pada 24 dan 25 Sept lalu.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan berkata, pencerobohan dirancang itu tindakan disengajakan rejim Israel dan bertujuan mencabar status quo undang-undang serta politik Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa mendesak rejim Israel bertanggungjawab atas tindakan pencerobohan berterusan yang akan memburukkan lagi keadaan sudah parah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT).

“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) mesti melaksanakan tanggungjawab diamanahkan oleh Piagam dan mengecam rejim, selain menghentikan serta-merta semua tindakan provokasi serta pencerobohan untuk keamanan dan kestabilan di rantau ini.”

Malaysia terus berpegang teguh dengan pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.