Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

‘Langsi’ bukan fitnah, kata Azmin berkait saman Guan Eng

Lim Guan Eng menyaman Azmin Ali berhubung kenyataan dibuat dalam ucapan kepada masyarakat Cina di Lunas, Kedah, November lalu.

SUNGAI PETANI: Azmin Ali menafikan dakwaan beliau memfitnah bekas menteri kewangan Lim Guan Eng, dengan mendakwa perkataan “langsi” bukan fitnah.

Ketua penerangan Perikatan Nasional (PN) itu juga mendakwa, kenyataannya berkaitan penglibatan Lim menggunakan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengejar syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan MCA sekadar mengutarakan perkara menjadi pengetahuan masyarakat umum.

“Kenyataan tersebut dibuat adalah berdasarkan cara dan tindakan Lim sendiri secara terbuka mengatakan beberapa perkara berkenaan dengan parti MCA,” katanya dalam pernyataan pembelaan terhadap saman itu.

Menurut Azmin, beliau juga tidak mempunyai pengetahuan berkenaan kehadiran mana-mana wartawan The Star apabila mengeluarkan kenyataan didakwa berunsur fitnah itu dan meletakkan Lim sebagai bukti tegas dakwaannya bahawa ia dibuat di hadapan pemberita

“Defendan (Azmin) tidak bertanggungjawab atas apa-apa yang diertikan atau diinferensikan oleh mana-mana ahli media massa yang meliputi mana-mana acara yang defendan sertai,” menurut dokumen itu.

Pengerusi DAP itu menyaman Azmin atas dakwaannya bersikap “langsi” atau angkuh sehingga menakutkan komuniti perniagaan Cina.

Azmin didakwa membuat kenyataan itu ketika berucap di hadapan masyarakat Cina dalam kempen PRU15 di Lunas, Kedah pada 12 Nov tahun lalu.

Azmin dipetik The Star sebagai berkata bahawa Lim, ketika menjadi menteri kewangan menggunakan LHDN untuk “mengejar” syarikat dikaitkan dengan MCA.

Azmin juga didakwa mengatakan bahawa kelakuan Lim menimbulkan ketakutan dalam komuniti perniagaan, terutama dalam kalangan orang Cina.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim berkata walaupun MCA musuh politiknya semasa menjadi menteri kewangan, beliau tidak “mengejar” syarikat yang dikaitkan dengan parti itu seperti didakwa.

Lim berkata kenyataan itu menjejaskan reputasinya, menuduhnya menyalahgunakan kuasa sebagai menteri kewangan dan melakukan penganiayaan terpilih terhadap syarikat dikaitkan dengan MCA.