Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kualiti kerja rendah punca jalan rosak lagi, kata menteri Sabah

Shahelmey Yahya berkata JKR daerah sepatutnya memeriksa dan memantau kerja dilakukan sebelum itu dengan lebih teliti. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Kerja Raya Sabah, Shahelmey Yahya, berkata kualiti kerja rendah pihak ketiga dipercayai punca Jalan Gum-Gum di Sandakan rosak selepas ditambah baik.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengambil maklum kerosakan jalan itu yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata, kerja pelebaran di jalan itu dilakukan pihak ketiga sebelum ini, bukannya kontraktor penyelenggaraan.

“Bukan disebabkan guna bahan tidak berkualiti, tetapi kemungkinan kualiti kerja yang rendah semasa buat kerja pelebaran itu.

“Jadi, perkara tersebut telah diambil maklum pihak JKR dan mengarahkan pihak konsesi jalan melakukan kerja pembaikan pada tahun ini juga,” katanya menurut Sinar Harian.

Timbalan ketua menteri Sabah itu berkata, JKR daerah sepatutnya memeriksa dan memantau kerja yang dilakukan sebelum itu dengan lebih teliti.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Jalan Gum-Gum kembali rosak selepas kira-kira tiga minggu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melalui jalan itu sempena Kembara Kenali Borneo.

Menurut laporan itu, sebahagian jalan raya kini seperti “jalan ke bulan” dengan beberapa gambar keadaan jalan rosak dikongsikan pengguna di media sosial.