Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

KPM arah periksa kemudahan sukan, padang sekolah

Fadhlina Sidek berkata SOP penyelenggaraan kemudahan sukan akan ditingkatkan bagi menjamin keselamatan pelajar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan pemeriksaan ke atas semua prasarana sukan dan padang sekolah bagi memastikan ia dalam keadaan selamat, susulan kematian seorang murid dihempap besi palang gol di Sarawak.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengeluarkan arahan itu kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah bagi memastikan kawasan sekolah sifar kemalangan.

Bagi menjamin keselamatan pelajar, katanya, tatacara operasi standard penyelenggaraan kemudahan sukan akan ditingkatkan.

“Pihak pentadbir sekolah digesa sentiasa mengingatkan pelajar sentiasa waspada ketika melakukan aktiviti di luar kelas,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, seorang murid 11 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas ditimpa besi palang gol ketika aktiviti ko-kurikulum bersama rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan St Anthony, Bintulu.

Fadhlina berkata KPM akan memberi kerjasama penuh kepada polis bagi membantu siasatan.

“Salam takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan saya memberi jaminan KPM menerusi JPN akan menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa.”