Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kerajaan tolak cadangan naikkan harga siling beras putih tempatan

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata pihaknya mahu memastikan harga nasi yang dijual tidak dinaikkan.

PETALING JAYA: Kerajaan menolak cadangan menaikkan harga siling beras putih tempatan kepada RM34 untuk setiap 10kg bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan.

Harga siling beras putih tempatan ketika ini RM26 untuk setiap 10kg.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata kebenaran pembelian beras putih import pada harga borong bagi membantu peniaga mengawal kos operasi dan memastikan harga nasi tidak dinaikkan.

“Ini juga bagi memastikan bekalan beras putih tempatan dapat distabilkan dengan mengurangkan pembelian besar daripada pengusaha restoran untuk perniagaan mereka berbanding untuk kegunaan isi rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian berkata harga runcit beras putih tempatan masih dikawal pada kadar RM2.60 sekilogram, sebagaimana Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) (Pindaan No.4) 2008, Akta Kawalan Padi dan Beras.

Ia menjawab cadangan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Ameer Ali Mydin iaitu menaikkan harga siling beras putih tempatan, kerana menurut beliau pengilang kurang berminat mahu mengeluarkan beras tempatan kerana harga siling yang rendah.

“Langkah (menaikkan harga siling beras putih tempatan kepada RM34) akan menambah baik struktur kos bagi pengeluar dan membantu meringankan masalah kekurangan (bekalan). Ini penyelesaian lebih baik berbanding cuba mengekalkan harga pada RM26 (memandangkan) bekalan masih tidak mencukupi,” kata Ameer kepada FMT.

Beliau juga berkata, langkah kerajaan baru-baru ini membenarkan pengusaha restoran membeli beras putih import pada harga borong bukan sesuatu yang bijak. Katanya, ini akan menguntungkan perniagaan yang lebih besar dengan mengorbankan peniaga kecil.

Terdahulu, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) memberi jaminan kepada pengguna bahawa bekalan beras mencukupi.

Bernas, yang memonopoli import beras berkata syarikat itu mengedarkan 630,000 tan metrik beras putih dari Januari hingga Ogos, peningkatan 38% daripada purata jualan bulanan sejak lima tahun lalu.