Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kepelbagaian jadi sumber kekuatan, bukan perpecahan, kata Anwar

Anwar Ibrahim merasmikan Festival Kebudayaan Putrajaya malam ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kepelbagaian kaum, budaya dan agama di Malaysia patut menjadi sumber kekuatan, bukannya memecahbelahkan rakyat, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Gunakan kesempatan ini melihat kekuatan kita. Kita boleh pilih perbezaan ini untuk perkukuh dan perkuat atau memilih untuk timbulkan keretakan.

“Saya percaya rakyat waras yang cintakan negara hormat nilai kemanusiaan, akan lihat perbezaan ini, suku kaum pelbagai jenis menerima seni budaya itu sebagai kekuatan kerana kepelbagaian itu membina kehebatan Malaysia tercinta,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kebudayaan Putrajaya.

Beliau berkata, tidak banyak negara di dunia memiliki kekuatan seperti Malaysia.

“Tidak banyak negara dunia boleh pamer seni budaya Melayu sebagai terasnya, suku kaum lain dari Perlis sampai Sabah. Tahniah, ini penyertaan menyeluruh suku kaum rakyat Malaysia malam ini.”

Katanya, kemajuan negara tidak terbatas kepada perkembangan ekonomi, tetapi memerlukan pemerkasaan seni dan budaya juga.

“Dulu, bila saya lakar kebangkitan Asia, tentu pangkalnya adalah pertumbuhan ekonomi kerana dengan memperkasa ekonomi, negara boleh makin maju.

“Tetapi, kemajuan tak terbatas dengan kemajuan ekonomi. Pemerkasaan ekonomi, seni dan budaya dalam negara kita dengan kepelbagaian ini adalah kekuatan.”

Anwar turut memberi jaminan sektor pelancongan akan diberi tumpuan dalam pembentangan Belanjawan 2024.

“Saya beri jaminan pelancongan satu bidang ekonomi penting negara. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya harus percaya kalau ia jadi fokus kita antara industri IT (teknologi maklumat), teknologi makanan, tentunya kita beri pemusatan tentang industri pelancongan, termasuk pemerkasaan industri seni dan budaya.

Beliau mencadangkan Festival Budaya Putrajaya sebagai acara tahunan di Putrajaya.