Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kechara harap dapat bantu pecah kitaran kemiskinan

Lebih daripada menyediakan makanan secara percuma, Kechara Soup Kitchen turut menawarkan bantuan lebih besar kepada mereka yang memerlukan. (Gambar Kechara Soup Kitchen)

KUALA LUMPUR: Kechara Soup Kitchen (Kechara) menganjurkan kempen pengumpulan makanan di seluruh negara sempena Hari Makanan Sedunia pada 16 Okt ini bagi membantu mereka yang bergelut untuk memenuhi keperluan asas makanan.

Pengarah pemasaran Kechara Justin Cheah berkata, badan amal itu merangka strategi serampang tiga mata yang bertujuan menghalang individu yang pernah dibantu daripada kembali ke dalam kitaran kesusahan.

Beliau berkata, Kechara telah melangkaui penyediaan makanan kepada menawarkan bantuan yang lebih besar kepada mereka yang memerlukan.

“Kami bermula dengan menyediakan makanan secara percuma, tetapi selepas membantu ramai gelandangan, kami sedar punca masalah itu ialah kemiskinan.

“Oleh sebab itu, pada 2012, kami kembangkan operasi kami kepada menubuhkan bank makanan,” katanya kepada FMT.

Cheah berkata, Kechara mahu meringankan beberapa aspek beban kewangan keluarga bagi membolehkan mereka mengagihkan semula pendapatan kepada tanggungjawab lain, seperti pendidikan anak-anak dan perbelanjaan rumah.

Dengan menawarkan bekalan makanan secara berterusan, katanya, Kechara berharap dapat mengurangkan sedikit kebimbangan golongan terkesan supaya mereka dapat menumpukan usaha menjana pendapatan untuk menyara hidup.

Katanya, Kechara turut menawarkan latihan bagi mempersiap penerima dengan set kemahiran yang membolehkan mereka mencari rezeki.

“Kami buat beberapa program, seperti menjahit dan membuat kek, untuk melatih kemahiran yang dapat membantu mereka menjana pendapatan tambahan,” katanya.

“Dalam pada itu, mereka dilatih dan dibayar jadi mereka dapat bawa balik sesuatu yang lebih. Apabila mereka menghabiskan sedikit masa di sini, mereka dapat lari sekejap daripada masalah mereka.”

Organisasi itu juga melanjutkan sokongan dalam bentuk penjagaan perubatan asas; pendidikan untuk kanak-kanak; serta penempatan semula dan bantuan kebajikan, sebagai pakej komprehensif bertujuan untuk mengurangkan bilangan orang yang memerlukan bantuan.

“Kami percaya dengan menangani punca masalah, kami dapat mengurangkan bilangan orang di jalanan, serta mereka yang dibebani kemiskinan,” katanya.

Cheah menggesa orang ramai menyumbang bagi memastikan bekalan makanan berterusan, memandangkan ramai yang bergantung padanya, serta kadar pusing ganti stok seminggu Kechara yang tinggi.

“Kami membantu kira-kira 3,000 keluarga secara berkala dan memberikan mereka bekalan hampir setiap bulan,” katanya.

“Kerisauannya di sini adalah untuk memastikan kami dapat memenuhi komitmen kami dan memastikan bekalan makanan berterusan.

Sumbangan boleh dihantar ke bank makanan Kechara di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru.

Barangan makanan yang tidak mudah rosak seperti beras, minyak masak, tepung, mee kering dan segera, makanan dalam tin, serta biskut hendaklah dijamin halal.