Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kebakaran hutan di Sumatera, Kalimantan punca jerebu, kata JAS

Keadaan berjerebu di Malaysia didapati berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, menurut JAS. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat di beberapa bahagian negara semalam adalah disebabkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, menurut Jabatan Alam Sekitar.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, kebakaran hutan menyebabkan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan pantai barat Semenanjung serta bahagian barat Sarawak.

“(Berdasarkan) imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, 52 titik panas dikesan di Sumatera, 264 dikesan di Kalimantan dan tiada titik panas dikesan di dalam negara,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, keadaan cuaca kering dijangka berterusan di bahagian tengah dan selatan Sumatera, serta selatan Kalimantan, dengan gugusan titik panas melepaskan asap jerebu tebal yang ditiup angin ke arah barat laut.

Titik panas di Indonesia ditunjukkan dalam peta oleh portal jerebu rentas sempadan Asean. Anak panah biru menandakan arah angin bertiup. (Peta ASMC)

Bagaimanapun, hujan di beberapa bahagian barat Kalimantan mungkin membantu mengurangkan keadaan titik panas dan berjerebu, tambahnya.

Setakat 11 malam, Cheras, Kuala Lumpur mencatatkan bacaan IPU paling tidak sihat pada 155. Kualiti udara buruk turut dikesan di Kuala Selangor (152); Petaling Jaya (152); Shah Alam (151); Putrajaya (121); Batu Muda (107); dan Johan Setia (106), semuanya di Lembah Klang.

Nilai di Negeri Sembilan turut mengalami keadaan berjerebu dengan IPU 133, manakala di Pulau Pinang, hanya Seberang Jaya mengalami kualiti udara tidak sihat dengan IPU 105.

Bahagian lain di negara ini mencatatkan bacaan IPU yang baik dan sederhana.