Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Jelaskan isu yuran kod QR DuitNow, kumpulan perniagaan beritahu PayNet

Pergerakan Pengguna Malaysia berkata yuran transaksi kod QR DuitNow jika dilaksanakan akan menjadi satu langkah ke belakang ketika Putrajaya mempromosikan pendigitalan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Satu kumpulan perniagaan menggesa Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) untuk menjelaskan sama ada vendor akan dikenakan yuran transaksi bayaran yang diterima menerusi platform kod QR DuitNow bermula 1 November ini.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berkata pihaknya berusaha keras menggalakkan usahawan kecil dan sederhana (SME) beralih kepada digital tetapi mengenakan caj seperti itu akan membantutkan usaha tersebut.

“PayNet patut segera menjelaskan sama ada berita berkenaan yuran kepada peniaga yang menggunakan DuitNow ini benar atau tidak,” kata Pengerusi Samenta William Ng kepada FMT.

Semalam dilaporkan, yuran transaksi akan dikenakan kepada peniaga yang menerima bayaran menerusi DuitNow bermula 1 November ini. Ketika ini hanya transaksi DuitNow melebihi RM5,000 akan dikenakan caj 50 sen.

Menurut satu tangkap layar yang disiarkan di Twitter, platform RHB Reflex memaklumkan kepada pengguna bahawa yuran minimum adalah RM0.01 untuk satu transaksi. Caj 0.25% dari nilai transaksi juga dikenakan sekiranya bayaran dibuat dari akaun semasa atau simpanan, dan 0.5% menggunakan kad kredit.

FMT cuba mendapatkan komen Bank Negara Malaysia (BNM) dan PayNet.

Sementara itu, Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM) berkata yuran transaksi jika dilaksanakan akan menjadi satu langkah ke belakang ketika Putrajaya bersunguh-sunguh mempromosikan pendigitalan.

Timbalan Presiden MCM Beninder Singh berkata bank perlu memainkan peranan mereka dan membantu usaha kerajaan dalam pendigitalan kerana institusi kewangan sudah mendapat berjuta-juta keuntungan dalam bentuk pendapatan bukan faedah dan menyerap yuran ini.

“BNM perlu campur tangan untuk memastikan bank tidak mengenakan caj seperti ini tanpa kelulusan yang diperlukan,” katanya.