Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

‘Jangan aniaya rezeki kami’, usahawan bidas vandalisme mesin layan diri IPR

Amiruddin Ahmad Abdul Jalil meraih pendapatan sehingga RM4,000 sebulan menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR). (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang usahawan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) merayu orang awam tidak gatal tangan “menutup rezeki” mereka, susulan insiden mesin layan diri program itu ditutup suisnya sehingga tidak beroperasi, baru-baru ini.

Merujuk kejadian di KTM Bukit Mertajam, Amiruddin Ahmad Abdul Jalil berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana mereka telah berpenat lelah bangun awal pagi untuk menyediakan hidangan jualan tetapi rosak angkara vandalisme.

Pernah mengalami situasi sama membabitkan mesin layan diri dikendalikannya di KL Sentral bulan lalu, pekerja kilang berusia 28 tahun itu berharap masyarakat memahami situasi mereka yang hanya mahu mencari rezeki.

“Jangan aniaya periuk nasi kami. Kita cari rezeki, harus hormat orang yang sedang cari rezeki,” kata Amiruddin kepada FMT.

Beliau yang berniaga makanan seperti nasi goreng, mi goreng dan kuih untuk sarapan mampu meraih pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.

Isnin lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli membidas individu sengaja menutup suis mesin layan diri IPR di KTM Bukit Mertajam menyebabkannya tidak beroperasi.

Bagi mengelak perkara sama terus berulang, Amiruddin mencadangkan suis mesin dikunci agar tiada “tangan gatal” boleh menutupnya dan dibekalkan dengan pembekal kuasa jika bekalan elektrik terputus.

Amiruddin yang berasal dari Sabah berkata walaupun setiap peserta IPR diberi aplikasi khas untuk memantau operasi mesin layan diri dari jarak jauh, ia tidak bermakna penambahbaikan tidak diperlukan.

“Perlu ada kerjasama dari semua pihak… pembeli, vendor, penyedia lokasi. Semua kena main peranan,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Puchong, Selangor.

Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mencadangkan setiap lokasi mesin layan diri IPR dibekalkan kamera litar tertutup (CCTV) agar kejadian “vandalisme” dapat dipantau dan diatasi.

“Ini bagi membuatkan mereka takut untuk melakukannya,” kata Bendaharinya, Nur Asyikin Aminuddin yang turut membidas pelaku vandalisme dan menyifatkan mereka mempunyai mentaliti kelas ketiga.