Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Jalan Sungai Besi ditutup 2 Okt ini

Penutupan Jalan Sungai Besi bagi membolehkan kerja-kerja bagi melebarkan Jalan Yew yang bermula pada Oktober 2021 dan dijangka siap pada 31 Dis 2025.

KUALA LUMPUR: Rancangan menutup Jalan Sungai Besi menghala ke Sungai Besi/ Petaling Jaya (berhadapan Fraser Business Park) dan Bulatan Loke Yew kepada semua lalu lintas secara berperingkat mulai 30 Sept ini ditangguhkan kepada 2 Okt hingga 1 Okt 2024.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata penutupan jalan itu bertujuan membolehkan kerja-kerja pelebaran, pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew dijalankan.

“DBKL telah melantik Tetuan Pertama Makmur Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja-kerja bagi melebarkan Jalan Yew yang bermula pada Oktober 2021 dan dijangka siap pada 31 Dis 2025, dan kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan di tapak,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya boleh menggunakan beberapa lencongan trafik yang disediakan.

Trafik dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Sungai Besi/ Petaling Jaya akan dilencongkan kepada dua bahagian iaitu satu laluan melalui jalan bersebelahan Federal Bakery dan satu laluan memasuki laluan kontra di lorong bersebelahan.

Laluan trafik Jalan Yew dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Jalan Kinabalu dan Jalan Kuching akan ditutup pada tempoh pembinaan, justeru laluan alternatif adalah melalui Jalan Kampung Pandan, Jalan Imbi dan Jalan Hang Tuah.

Sementara bagi membolehkan kerja-kerja meroboh jambatan susur (ramp) dan pembinaan semula jambatan di Bulatan Pudu menghala ke Jalan Sungai Besi (bersebelahan Balai Polis Pudu), jalan susur dari Jalan Pudu ke Jalan Yew ditutup kepada semua lalu lintas pada tempoh yang sama.

“Laluan alternatifnya adalah melalui Jalan Sungai Besi, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Satu, Jalan Dua dan Jalan Tiga,” menurut kenyataan itu.

Oleh itu, DBKL menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi isyarat papan tanda dan arahan polis trafik sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kesulitan.