Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Integrasi STEM dalam TVET kini trend global, kata ahli akademik

Menurut ahli akademik, tenaga kerja STEM merangkumi semua pekerja yang benar-benar menggunakan kemahiran STEM dalam pekerjaan, tidak semestinya hanya pemegang ijazah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Banyak negara kini terutamanya berminat mengintegrasikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk mengekalkan daya saing mereka, kata ahli akademik Sheryl Lyn Carreon Monterola.

Monterola, pengarah Institut Pembangunan Pendidikan Sains dan Matematik Kebangsaan di Universiti Filipina berkata, negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura dan Filipina sedang berusaha menjamin daya maju dan daya pengeluaran modal insan mereka.

Bercakap pada panel semasa seminar penutup Program Kemahiran untuk Kemakmuran di Malaysia (SfP-Malaysia) di sini semalam, beliau berkata, langkah pertama dalam mengintegrasikan STEM adalah mentakrifkan semula apa yang membentuk “tenaga kerja STEM”.

“Ia bukan sahaja bermaksud mereka yang menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi, yang mempunyai ijazah sarjana muda dalam sains dan kejuruteraan.

“Ia sebenarnya merangkumi semua calon lain yang bukan semestinya pemegang ijazah, tetapi benar-benar menggunakan kemahiran STEM dalam pekerjaan mereka,” katanya.

Monterola menyatakan bahawa integrasi sedemikian menangani dengan lebih berkesan keperluan hab inovasi dan kilang untuk juruteknik bagi memastikan mereka dapat mengekalkan daya pengeluaran.

Masyarakat menua

Rakan panel dan ahli akademik Lai Chee Sern berkata, memandangkan Malaysia dianggap sebagai negara menua, pekerja memerlukan latihan semula dan peningkatan kemahiran kerana kemahiran yang mereka miliki mungkin tidak lagi relevan.

“Ini penting untuk memastikan pekerja yang semakin menua dapat menggunakan kemahiran mereka dan mendapatkan pekerjaan selayaknya, terutamanya mereka daripada kumpulan rentan.

“Wang yang mereka ada (untuk) persaraan mungkin tidak cukup untuk menampung (kos) perbelanjaan hidup dan perubatan,” kata Lai, pensyarah kanan di fakulti pendidikan teknikal dan vokasional Universiti Tun Hussein Onn.

Lai berkata, Revolusi Industri Keempat (IR4.0) juga telah mengubah landskap industri berikutan kemajuan dalam STEM dan teknologi, menjadikan pembelajaran sepanjang hayat lebih diperlukan.

“Pembelajaran sepanjang hayat penting untuk menyokong pekerja yang semakin menua supaya mereka boleh memperoleh kemahiran baharu dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

“Mereka yang terlibat dalam pembelajaran sepanjang hayat lebih mudah menyesuaikan diri dengan perubahan di tempat kerja dari segi teknologi dan proses kerja, serta dalam peranan pekerjaan mereka.

“Kemajuan berterusan dalam STEM membolehkan pekerja industri yang semakin menua meningkatkan kecekapan mereka dan menjadi relevan kepada pasaran buruh, agar menjadi lebih berdaya tahan terhadap perubahan dalam teknologi dan proses kerja.”

SfP-Malaysia, dikendalikan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan dibiayai oleh kerajaan United Kingdom dari 2019 hingga 2023, ialah program pendidikan dan kemahiran global UK utama yang bekerjasama dengan pelbagai negara rakan kongsi, termasuk di Asia Tenggara.