Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Hanya penjawat awam baharu, KJ perjelas cadangan mansuh pencen

Khairy Jamaluddin berkata beliau dengan jelas mengatakan cadangan memansuhkan pencen penjawat awam hanya untuk pengambilan baharu.

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin kesal dengan tindakan sesetengah media yang menggunakan “clickbait” berhubung cadangannya memansuhkan pencen Ahli Parlimen dan penjawat awam tanpa mengambil konteks penuh.

Menurutnya, beliau dengan spesifik dan jelas mengatakan cadangan itu adalah untuk pengambilan baharu penjawat awam, bukan mereka yang sedang dalam perkhidmatan ketika ini.

“Ini sekali gus mengelirukan pembaca. Saya kesal dengan tindakan sesetengah media yang menggunakan ‘clickbait’ tanpa mengambil konteks penuh tentang cadangan saya.

“Ikuti ulasan penuh tentang isu ini dalam Episod 53 #KeluarSekejap di YouTube,” kata bekas Ahli Parlimen Rembau di Facebook.

Khairy dilapor mencadangkan pencen penjawat awam dihapuskan “bagi membantu mengimbangi fiskal negara” ketika mengulas cadangan menggantikan pencen bagi Ahli Parlimen dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di podcast Keluar Sekejap semalam.

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan cadangan Khairy itu sebagai mengarut serta tidak wajar dibangkitkan.

Presidennya, Adnan Mat turut mengingatkan bekas menteri itu, penjawat awam bukan seperti ahli politik yang berkhidmat dalam tempoh singkat tapi diberi imbuhan tinggi dan menikmati pencen yang besar.

“Tidak wajar untuk mana-mana ahli politik mempersoalkan keistimewaan penjawat yang menikmati skim pencen apabila majoriti daripada mereka berkhidmat lebih 30 tahun,” katanya dalam kenyataan.