Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Hadi kekal presiden, 4 jawatan tertinggi PAS tak ditanding, kata Takiyuddin

Abdul Hadi Awang kekal presiden PAS sementara Tuan Ibrahim Tuan Man kekal timbalannya, selepas jawatan disandang tidak ditandingi calon lain.

KUALA LUMPUR: PAS mengesahkan tiada pemilihan bagi lima jawatan tertinggi parti itu, kata Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, pemilihan hanya bagi jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

“Presiden dan timbalan presiden hanya ada satu pencalonan iaitu kekalkan jawatan yang ada.

“Manakala, untuk jawatan naib presiden untuk tiga naib, menerima sebanyak 4 pencalonan. Menteri besar Kedah (Sanusi Nor) dicalonkan naib presiden maka dia tarik diri. Maka tiada pertandingan, mengekalkan barisan naib presiden yang ada,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut.

Kali terakhir berlaku pertandingan pada 2015, yang menyaksikan Ahmad Awang mencabar Abdul Hadi Awang, manakala Mohamad Sabu mencabar Tuan Ibrahim, namun kedua-duanya tewas.

Rabu lalu, Sanusi mengakui “dilamar” bertanding jawatan naib presiden PAS pada pemilihan parti bulan depan, namun menolaknya.

Ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu menyifatkan dirinya masih “tidak layak” duduk di kerusi “top 5” kepimpinan PAS walaupun sebagai menteri besar.

Hadi dan timbalannya, Tuan Ibrahim mempertahankan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti bagi sesi 2021-2023 pada Muktamar Tahunan Ke-67 di Terengganu, November dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata PAS perlu memilih seramai 18 orang AJK PAS Pusat.

Katanya, ini termasuk 197 kawasan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita telah terima pencalonan tersebut dan ‘finalise’ melalui satu jawatankuasa PAS Pusat tahun ini

“Tiga jawatan naib presiden PAS iaitu, Idris Ahmad, Nik Amar Abdullah, dan Ahmad Samsuri Mokhtar,” katanya.