Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Fama Melaka agih 9,000 kampit beras

Dr Akmal Saleh berkata jualan beras itu dijangka diadakan setiap minggu mengikut bekalan daripada Kawalselia Padi dan Beras hingga situasi kekurangan bekalan pulih.

JASIN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Melaka akan mengagihkan kira-kira 9,000 kampit beras tempatan untuk jualan di 28 kawasan DUN di negeri itu, bermula esok.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Akmal Saleh, berkata penjualan beras tempatan 10 kilogram berkenaan akan diuruskan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) masing-masing.

“Beras itu akan dijual pada harga tidak melebihi RM26 sekampit dan satu keluarga hanya dibenarkan membeli sekampit sahaja.

“Selain itu, hanya warganegara tempatan sahaja akan dibenarkan membeli kerana ia merupakan keutamaan kita bagi memastikan rakyat Melaka dapat membeli beras tempatan dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Rahmah Mesra Madani Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil bersama Nelayan Melaka, yang turut dihadiri Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.

Akmal berkata jualan beras itu dijangka diadakan setiap minggu mengikut bekalan yang diperoleh daripada Kawalselia Padi dan Beras sehingga situasi berkenaan kembali pulih.

Sementara itu, beliau berkata anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta pihak berkuasa tempatan akan bekerjasama memantau penjualan beras tempatan di pasar raya dan kedai runcit bagi memastikan bekalan tersebut sampai kepada rakyat.

“Kerajaan telah merangka dan melaksanakan polisi yang baik untuk rakyat negara ini termasuk dalam isu bekalan beras ini dan penguatkuasaan perlu dilakukan secara tegas dan terperinci terutama kepada pemborong atau pengilang beras yang dikesan mengambil kesempatan dalam situasi ini.

“Jika 100 tan metrik beras masuk ke Melaka, kita perlu pastikan jumlah ini sampai kepada rakyat,” katanya.