Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Di sebalik dakwaan penindasan agama, Islam dan umatnya terus berkembang di Xinjiang

Ketua Institut Islam Xinjiang, Abdureqip Tormurniyaz berkata kewujudan 24,000 masjid di Xinjiang berbeza dengan persepsi umum bahawa Uyghur-Muslim dianiaya dan tidak bebas mengamalkan ajaran Islam. (Gambar Bernama)

URUMQI: “Assalamualaikum,” Abdureqip Tormurniyaz memberi salam kepada delegasi di perkarangan bangunan Institut Islam ketika mereka turun dari kenderaan.

Sambil mengiringi delegasi enam orang terdiri daripada wartawan Malaysia dan wakil pertubuhan belia melawat persekitaran kampus seluas 10 hektar itu, ketua Institut Islam Xinjiang itu memberi penerangan mengenai peranan institut terbabit dalam pembangunan Islam di Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang.

“Dulu, kami hanya mempunyai 300 pelajar dan kini kami mempunyai 1,000 pelajar yang sedang mengikuti pelbagai pengajian Islam sepenuh masa, daripada kursus pendek hingga program ijazah kira-kira tiga hingga empat tahun, bergantung kepada program.”

Mereka belajar subjek Islam, bahasa Arab dan Cina, undang-undang dan peraturan serta budaya dan sejarah. Kelas dikendalikan dalam bahasa Cina dan Uyghur.

Selepas tamat pengajian, mereka mempunyai prospek cerah menjadi imam, pegawai masjid atau guru agama.

Selain menyediakan pendidikan Islam, Abdureqip berkata, institut itu turut berfungsi sebagai pusat sumber dan rujukan, terutama buat sarjana asing untuk mendalami ilmu tentang Islam di Xinjiang.

“Setiap tahun, kami menerima ratusan kumpulan tempatan dan asing melawat institut ini. Kami berharap melalui interaksi dengan lebih ramai orang daripada pelbagai latar belakang, kami dapat mempromosikan keamanan dan meningkatkan persefahaman lebih baik dalam kalangan kami.”

Katanya, institut itu turut memainkan peranan penting dalam menterjemah al-Quran, kitab dan tulisan ulama Islam terkemuka kepada bahasa Uyghur dan Cina.

Ditubuhkan pada 1986 di Urumqi, Institut Islam Urumqi di Xinjiang kemudian dipindahkan ke kampus lebih besar dan moden pada 2017 dan perjalanan ke institut itu mengambil masa 30 minit pemanduan dari pusat bandar.

Sebuah masjid besar dengan kubah hijau dan menara yang boleh memuatkan 1,000 jemaah turut tersergam indah di perkarangan kampus.

“Di masjid ini, pelajar kami diajar mengimamkan solat dan melaksanakan pelbagai ajaran Islam seperti yang perlu dilakukan ketika bayi baru lahir, di majlis perkahwinan dan menguruskan pengebumian. Mereka akan berkumpul di sini untuk perbincangan dan solat,” katanya sambil menambah Institut itu kini mempunyai lapan cawangan di seluruh rantau ini.

Beliau berkata, Islam di Xinjiang dinamik dan rakyat mempunyai hak serta kebebasan mengamalkan agama mereka.

Situasi itu amat berbeza dengan persepsi umum bahawa Uyghur-Muslim dianiaya dan tidak bebas mengamalkan ajaran Islam.

Persepsi salah itu berpunca daripada masa lampau antara 1990 dan 2016, apabila wilayah barat laut didominasi Uyghur-Muslim dengan lebih 25.8 juta penduduk diganggu keganasan dan ekstremisme agama, menyebabkan ketidakstabilan dan korban nyawa.

Delegasi Malaysia turut dibawa melawat pameran bertemakan “The Fight Against Terrorism and Extremism In Xinjiang” di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Xinjiang yang mempamerkan garis masa sejarah kewujudan bersama berbilang agama di rantau itu serta tempoh pergolakan dan kejayaan kerajaan mengekang keganasan.

Menurut teks didaktik di pameran itu, Islam diperkenalkan ke selatan Xinjiang pada akhir abad kesembilan dan awal abad ke-10. Menjelang awal abad ke-11, Islam dan Buddhisme muncul bersama, dengan masing-masing menjadi kepercayaan dominan di selatan serta utara Xinjiang.

Sejarah Xinjiang menunjukkan pelbagai agama wujud bersama sekian lama, dengan Islam kebanyakannya wujud bersama agama lain, termasuk agama Buddha, Kristian dan ortodoks.

Abdureqip berkata, terdapat 24,000 masjid di Xinjiang.

Pameran itu menampilkan ratusan senjata dirampas dalam serangan pengganas, termasuk pistol, pisau, kapak, pedang, bom tangan dan lain-lain. Rakaman dan gambar kejadian sebenar turut dipamerkan.

“Xinjiang adalah medan perang utama dalam memerangi keganasan dan ekstremisme di China. Dalam menghadapi ancaman sebenar ini, Xinjiang mengambil tindakan tegas memerangi keganasan dan ekstremisme mengikut undang-undang, membendung aktiviti pengganas yang kerap berlaku dengan berkesan,” kata jurupandu kami, Zhang Ning.

Pengarah Bahagian Media dan Kebudayaan di Pejabat Hal Ehwal Luar Wilayah Autonomi Xinjiang, Gu Mei memberi jaminan kerajaan China tidak menentang mana-mana kumpulan etnik atau agama.

“Dalam hal ancaman keganasan, kerajaan China sama seperti kerajaan lain di dunia. Kami menentang aktiviti jenayah, pemisahan dan keganasan.

“Jika kita menindas mereka (Uyghur), kenapa kerajaan masih beri mereka faedah sosial dan ekonomi untuk meningkatkan kehidupan mereka?

“Negara mana di dunia yang menindas rakyat mereka dengan memberi mereka faedah?” katanya merujuk laporan negatif Barat mengenai layanan Beijing terhadap Uyghur dan penindasan agama di rantau itu.

Beliau berkata, kerajaan China lebih menumpukan pembangunan ekonomi sebagai kunci meningkatkan kesejahteraan rakyat berbanding melawan perang persepsi.

Data rasmi menunjukkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Xinjiang berkembang pada kadar purata tahunan sebanyak 5.1% sepanjang lima tahun lalu.

Tahun lalu, KDNK rantau ini mencecah RMB1.774 bilion (RM1.14 bilion), meningkat 3.2% daripada 2021 dan diramal meningkat kepada kira-kira 7% tahun ini.

“Untuk memadamkan persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan Xinjiang dan Uyghur, perkara paling penting ialah anda perlu percaya apa yang dilihat dengan mata, bukan apa yang anda dengar,” kata Gu.