Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Bunuh 23 penghuni tahfiz, pemuda rayu sabitan di Mahkamah Persekutuan

Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017 mengorbankan 23 nyawa.

PUTRAJAYA: Seorang pemuda memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan atas sabitan membunuh dan perintah ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong berhubung kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017 yang mengorbankan 23 nyawa.

Peguam Haijan Omar yang mewakili pemuda berusia 22 tahun itu ketika dihubungi Bernama berkata notis rayuan difailkan pada 21 Sept lalu.

Pada 11 Sept lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri Abu Bakar Jais, Che Mohd Ruzima Ghazali dan See Mee Chun menolak rayuan pemuda itu dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara.

Hakim Che Mohd Ruzima yang menyampaikan keputusan itu berkata mahkamah bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi dalam memutuskan bahawa keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan oleh pendakwaan adalah kukuh dan menjurus kepada satu arah iaitu pemuda itu bersama seorang lagi yang tidak dikenali, memanjat pagar belakang sekolah untuk memulakan kebakaran yang menyebabkan 23 orang terkorban.

Panel yang sama turut menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang lagi pemuda, juga berumur 22 tahun, daripada tuduhan membunuh tanpa dipanggil membela diri.

Bagaimanapun, difahamkan tiada notis rayuan difailkan oleh pihak pendakwaan terhadap pembebasan tertuduh kedua atas kesalahan itu. Tarikh akhir untuk memfailkan notis rayuan pada Isnin lalu.

Pada 17 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi mendapatinya bersalah atas kesalahan membunuh dan memerintahkan dia ditahan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Pada hari sama, Mahkamah Tinggi membebaskan tertuduh kedua daripada tuduhan membunuh.

Mengikut pertuduhan, pemuda berusia 16 tahun ketika kejadian itu bersama seorang lagi individu tidak dikenali, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.