Malaysia
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Bersediakah Malaysia jadi negara tua menjelang 2030?

Dianggarkan 10.4% penduduk Malaysia kini berusia 60 tahun ke atas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Mengikut unjuran Jabatan Perangkaan, Malaysia bakal memegang status negara tua dalam tempoh tujuh tahun seiring trend global susulan peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kesuburan.

Berdasarkan takrifan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebuah negara dikategori sebagai tua apabila sekurang-kurangnya 15% daripada rakyatnya berusia 60 tahun ke atas. Kini, dianggarkan 10.4% penduduk Malaysia pada lingkungan usia itu.

Cepat atau lambat juga bergantung kepada kadar kelahiran. Tahun lalu, Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) bagi setiap wanita ialah 1.7 anak manakala 439,744 kelahiran direkodkan pada 2021, terendah dalam tempoh sedekad.

Sedia atau tidak?

Melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerajaan membelanjakan hampir RM900 juta setiap tahun bagi menyalurkan bantuan dan penjagaan warga tua. Namun pada pandangan pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Zumilah Zainalaludin, ia masih belum mencukupi.

“Dari sudut polisi kita ada dasar warga emas negara. Kita juga ada institut penyelidikan penuaan…maksudnya dari segi pendidikan dan polisi ada.

“Infrastruktur banyak yang perlu tambah baik. Dari segi kesedaran, saya rasa masih jauh,” kata Zumilah.

Bagi penganalisis ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak Barjoyai Bardai pula, kerajaan harus mempertimbangkan perbelanjaan kesihatan yang besar memandangkan kos rawatan warga emas jauh lebih tinggi.

“Negara harus berbelanja lebih untuk kemudahan seperti kesihatan,” katanya.

Ekonomi penjagaan

Namun situasi itu turut membuka kepada potensi penjanaan pendapatan baharu. Kerajaan sendiri juga bakal menumpukan kepada bidang latihan ekonomi penjagaan pada Belanjawan 2024 untuk melahirkan tenaga mahir memenuhi permintaan pasaran.

Selain itu, aspek perlu dititik berat juga membabitkan dari segi pendapatan mereka dalam menampung kos kehidupan seharian. Bagi pesara kerajaan, mereka ada pencen tetapi berbeza dengan pekerja swasta.

“Kalau swasta mereka mengharapkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” kata Barjoyai.

Mengikut kajian KWSP, seseorang pesara harus mempunyai simpanan RM240,000 untuk ‘bersara secara bermaruah’ iaitu perbelanjaan RM1,000 sebulan bagi menampung kehidupan bagi tempoh 20 tahun selepas menamatkan kerjaya.

Mengikut kajian Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, 90% warga emas masih boleh bekerja. Zumilah berkata ia harus dimanfaatkan dengan merangka garis panduan berbeza daripada sektor pekerjaan biasa.

“(Polisi) yang mesra mereka, (contohnya) bekerja 5 jam sehari, boleh sumbang pandangan serta idea, bekerja dari rumah atau hanya datang pada sesi tertentu.”